BEBERAPA dekad lalu, dunia perfileman tempatan pernah berbangga dengan penghasilan naskhah sains fiksyen berkisarkan pengembaraan masa iaitu XX Ray, karya dan arahanAziz M. Osman.
Mengulang jejak silam, sebuah filem yang berkonsep serupa berjudul Antaramasa menemui penonton menerusi saluran Astro First.
Penerbitnya, Umair Mohamed daripada rumah produsi Lux Ambiance Media Production berkata, idea penghasilan filem berkenaan timbul berikutan minat mendalam terhadap genre sains fiksyen.
“Saya dan pengarah filem ini memang sangat meminati filem-filem sains fiksyen seperti Oblivion, The Butterfly Effect dan XX Ray.
“Semasa kami memikirkan idea untuk memilih jenis filem yang diinginkan, Antaramasa menjadi pilihan pertama. Pada asalnya, judulnya diberi nama Paradox,” katanya.
Tambah Umair, konsep pengembaraan masa cukup digemari kerana sistem garis masa di dunia dan ruang angkasa amat berbeza.
Diarahkan oleh Ramdan Che Hassan, filem Antaramasa menampilkan pelakon seperti Josiah Hogan, Kaka Azraff, Adam Shahz, Riezman Khuzaimi, Indi Nadarajah, Tania Hudson serta penampilan istimewa Aziz M. Osman dan Aleeza Kasim.
Menceritakan lanjut tentang Antaramasa, Umair berkata, konsepnya menjurus kepada kisah sains fiksyen dengan menerapkan elemen cinta dalam jalan ceritanya.
Elemen cinta
“Bagi saya, elemen cinta sememangnya menjadi satu daya tarikan utama untuk penonton sekiranya digarap dengan baik.
“Lagi pun jalan cerita filem ini mudah difahami iaitu berkisar tentang seorang pemuda bernama Asri yang menggunakan mesin masa untuk mengubah garis waktu untuk memulihkan hubungan dengan kekasihnya,” katanya.
Sebagai sebuah naskhah berunsurkan sains fiksyen, sebanyak 45 peratus babak dalam filem Antarasamasa menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) .
“Bajet agak besar dari segi penataan seni kerana melibatkan pembinaan set penggambaran.
“Kami sangat berharap filem ini dapat meningkatkan minat pengkarya tempatan menerbitkan naskhah sebegini. Lagipun di Malaysia sebenarnya terdapat ramai tenaga kerja dalam bidang CGI yang berbakat,” katanya.
Sementara itu menurut Ramdan, pelbagai cabaran dilalui kru produksi dan pelakon sepanjang pembikinan Antaramasa termasuklah perlu mengkaji banyak teori pengembaraan masa.
Selain itu, ceritanya, kekangan bajet dan keadaan cuaca sepanjang penggambaran juga menimbulkan cabaran tersendiri kerana boleh dikatakan hampir setiap hari hujan turun di semua set lokasi.
Penggambaran berlangsung 24 hari di beberapa buah lokasi seperti sekitar ibu kota, Putrajaya dan Nilai, Negeri Sembilan pada 2014.
Mengulas tentang kemunculan istimewa Aziz M. Osman pula, Ramdan bagaimanapun berkata, penampilan pengarah filem itu tidak mempunyai kaitan dengan filem XX Ray 2.
“Kami cuba membina filem ini dalam semesta yang sama dengan filem XX Ray 2. Selepas mendapat persetujuan daripada Aziz, kemudian kami menjejaki Aleeza yang ketika itu masih menetap di Belanda,” katanya lagi.
Antaramasa sudah boleh ditonton menerusi Astro First sejak 1 Julai lalu