PENYANYI kumpulan Browned Eyed Girls, Ga In berdepan denda sebanyak sejuta won (RM3,000) selepas didapati bersalah menggunakan ubat terlarang bagi mengatasi masalah kemurungan dihidapinya.
Dia dikatakan melakukan perbuatan tersebut antara Julai hingga Ogos 2019 selepas seorang pakar pembedahan plastik yang dijatuhkan hukuman penjara kerana menjual sejenis ubat tidur kepada beberapa orang pesakit, termasuk Ga In.
Sedangkan undang-undang di Korea Selatan hanya membenarkan penggunaan propofol atau ubat tidur ketika menjalankan pembedahan dan bukannya untuk tujuan peribadi.
Agensi Mystic Story menerusi satu kenyataan tampil membuat permohonan maaf dan menjelaskan bahawa tindakan penyanyi itu menggunakan propofol disebabkan masalah kesihatan mental dialaminya.
“Ga In mengakui bahawa tindakannya bukan perkara yang betul. Kami memohon maaf sekiranya perkara ini menimbulkan kerisauan kepada peminat.
“Sebelum ini, dia mengalami kemurungan yang teruk selain masalah gangguan tidur. Tetapi dia telah membuat keputusan yang tidak sepatutnya,” ujar agensi tersebut.
Pada masa sama, agensi berjanji akan lebih berhati-hati dan memastikan Ga In memberikan yang terbaik serta tidak lagi mengecewakan peminat.