SEBERANG PERAI – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan berkaitan rasuah melibatkan wang RM372,009.
Guan Eng, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk suapan wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya, Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd.
Ia dengan cara memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn. Bhd. ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Juru dan sebahagian Lot 282, Batu Kawan di sini yang bernilai RM11.61 juta.
Ahli Parlimen Bagan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), George Town dekat sini di antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016.
Setiausaha Agung DAP itu didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.
Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib, manakala Guan Eng diwakili peguam yang diketuai Gobind Singh Deo.
Sementara itu, di mahkamah sama, ahli perniagaan, Phang Li Koon, 48,turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat.
Semalam, Guan Eng mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan terlibat rasuah membabitkan wang RM3.3 juta menerusi syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 oktober depan dan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing rm50,000 berserta seorang penjamin. – K! ONLINE