fbpx

Messi bawa Argentina terus mara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MESSI (kiri) berjaya meledak gol ketiga Argentina menerusi sepakan percuma ketika mereka menundukkan Ecuador 3-0 untuk ke separuh akhir. – AFP

RIO DE JANEIRO – Kapten Argentina, Lionel Messi berjaya meledak gol antarabangsa ke-76 ketika mereka menewaskan Ecua­dor 3-0 pada aksi suku akhir Copa America 2021 di Estadio Olimpico Pedro Ludovico pagi semalam.

Jaringan tersebut menyaksikan bintang sensasi Barcelona itu hanya ketinggalan satu gol di belakang Pele yang memegang rekod penjaring terbanyak dari Amerika Selatan.

Messi meledak gol ketiga Argentina itu menerusi sepakan percuma selepas berjaya me­lakukan umpanan untuk dua gol pasukannya sebelum itu sekali gus melonjakkan semangatnya untuk memburu kejuaraan pertama dalam kejohanan antarabangsa.

Pada aksi berkenaan, Argentina membuka tirai jaringan menerusi Rodrigo De Paul pada minit ke-39 sebelum Lautaro Martinez menjadikan pasukan itu lebih selesa untuk gol kedua pada minit ke-84.

Ketika perlawanan menuju wisel penamat, Argentina dianugerahkan sepakan percuma dan Messi tidak mensia-siakan peluang itu untuk menambah jaringan sekali gus mengumpul empat gol setakat ini dalam kejohanan tersebut.

Selepas berjaya mendahului perlawanan, Argentina mendapat banyak peluang keemasan untuk menambah jaringan tetapi mereka gagal menyudahkan peluang menyebabkan jurulatih mereka, Lionel Scaloni membuat keputusan memasukkan Angel Di Maria menggantikan Giovani Lo Celso.

Kemasukan Di Maria menjadikan Messi lebih berpengaruh dan selesa di padang untuk menjadi pengumpan dan mencipta beberapa gerakan berbahaya sekali gus membolehkan pasukannya menambah jaringan menerusi Martinez.

Argentina dijadual turun berdepan Colombia pada aksi separuh akhir nanti yang akan berlangsung di Estadio Nacional Brasilia pagi Rabu ini.

Messi mengakui bahawa mara ke separuh akhir adalah salah satu objektif mereka dan kini sudah berjaya meraihnya.

“Sekarang kami perlu berehat dan memikirkan mengenai Colombia. Mereka bertahan dengan baik dan memiliki serangan balas pantas yang sempurna.

“Saya gembira kami mampu bermain dengan baik sebagai satu pasukan. Saya tidak mahu fikir mengenai pencapaian individu. Argentina adalah ke­utamaan kami,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI