LONDON – Pemain remaja Britain, Emma Raducanu terus melakukan kejutan di Wimbledon apabila berjaya melangkah ke pusingan keempat selepas menyingkirkan bintang Romania, Sorana Cirstea kelmarin.
Meskipun turun dengan tiket wildcard, namun pemain berusia 18 tahun tersebut mempersembahkan aksi cukup memukau apabila mengatasi Cirstea dengan kemenangan straight-set 6-3, 7-5.
Kemenangan tersebut membolehkan Raducanu melakar sejarah tersendiri di Wimbledon apabila muncul pemain Britain termuda berjaya melayakan diri ke pusingan keempat.
“Ini adalah perlawanan terbesar yang pernah saya beraksi terutama penampilan pertama saya di Wimbledon. Berdepan pemain berpengalaman seperti Cristea bukanlah satu tugas mudah tetapi saya menikmati perlawanan tersebut.
“Saya mengatasi Cristea dengan permainan yang cukup baik meskipun saya ketinggalan 1-3 di pada awal set pertama. Saya cuba mengawal perasaan gugup dan memulakan semula perlawanan.
“Saya berjaya mengatasinya dan saya cukup gembira kerana melangkah ke pusingan keempat di kejohanan ini,” kata Raducanu.
Kemenangan tersebut membolehkan Raducanu boleh membawa pulang wang tunai sekurang-kurangnya £181,000 (RM1.041 juta) setelah mara ke pusingan keempat.
Selepas ini, Raducanu akan berdepan pemain Australia, Ajla Tomljanovic selepas dia menewaskan juara Terbuka Perancis (2017) Jelena Ostapenko dengan keputusan 4-6, 6-4, 6-2. – AGENSI