PETALING JAYA – Seramai 691 individu ditahan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 651 individu dikompaun, 38 lagi direman manakala dua lagi dijamin.
“Antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran atau makan atau minum di premis (189), tiada penjarakan fizikal (133) dan tidak memakai pelitup muka (91).
“Kesalahan lain dilakukan ialah individu gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (78), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (63), membawa penumpang berlebihan (49), premis gagal patuhi arahan (21), aktiviti pusat hiburan (6) dan lain-lain (61),” katanya hari ini.
Pada masa sama, Ismail Sabri memaklumkan, sebanyak empat kilang dan 20 premis diarahkan tutup kerana melanggar arahan kerajaan dan SOP.
Katanya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam telah melakukan 5,785 pemeriksaan ke atas kilang, 15,388 premis perniagaan, 569 tapak pembinaan dan 297 asrama penempatan pekerja.
Menurut beliau, kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan seperti diumumkan sebelum ini.
“Ia kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan,” katanya.
Tambah Ismail Sabri, Op Benteng dilaksanakan semalam turut menyaksikan 35 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditangkap dan tiga buah kenderaan darat dirampas.
“Dalam operasi itu, sebanyak 17 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929