KOTA BHARU – Seorang anggota polis berpangkat sarjan antara dua mangsa yang maut dalam kemalangan melibatkan dua buah motosikal di Padang Kala di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 1 petang itu, mangsa, Zulkifli Abdul Rahman, 58, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Versys 650 meninggal dunia di lokasi kejadian selepas parah pada bahagian muka dan dada.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohd. Muslimin Mat Sin,32, yang bekerja sebagai buruh turut disahkan meninggal dunia akibat parah pada bahagian muka, dada dan kepala.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, siasatan mendapati, Zulkifli yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pasir Puteh.
Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang Mohd. Muslimin dipercayai secara tiba-tiba membuat pusingan U dan memasuki laluan bertentangan.
“Insiden itu menyebabkan anggota polis tersebut tidak sempat mengelak sebelum kedua-dua buah motosikal bertembung.
“Kedua-dua mangsa dipercayai telah terjatuh dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Abdullah berkata, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929