fbpx

England mengamuk belasah Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain England meraikan jaringan ketiga oleh Harry Kane ketika menewaskan Ukraine 4-0 pada aksi suku akhir Euro 2020 di Stadio Olimpico, Rom sebentar tadi. - AFP

ROM, Itali – Pasukan England mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk menempah tiket ke pentas separuh akhir Euro 2020 selepas membelasah Ukraine 4-0 di Stadio Olimpico sebentar tadi.

Pada aksi suku akhir itu, pengendali Three Lions, Gareth Southgate membuat rombakan dalam kesebelasan utama dengan meletakkan Jadon Sancho dan Mason Mount untuk digandingkan bersama Raheem Sterling dan Harry Kane di jentera serangan.

Keputusan tersebut ternyata membuahkan hasil apabila England bermula garang apabila Kane berjaya menjaringkan gol seawal minit ke-4 selepas menyudahkan hantaran yang dilakukan oleh Sterling.

Tersentak dengan itu, Ukraine yang dibimbing oleh Andriy Shevchenko memperkemaskan benteng dengan menghadkan serangan yang dilakukan oleh pasukan yang menduduki ranking ke-4 dunia itu.

Peluang terbaik England untuk menambah jaringan hadir menerusi rembatan jarak jauh yang dilakukan oleh Declan Rice tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung pada babak kedua, England terus mempamerkan corak serangan pantas dan kali ini giliran pemain pertahanan, Harry Maguire menjaringkan gol selepas menanduk hantaran set piece yang dilakukan oleh Luke Shaw pada minit ke-46.

Shaw yang beraksi di bek kiri sekali lagi menjadi ancaman utama buat Ukraine apabila umpanan yang dilakukannya berjaya ditanduk oleh Kane untuk menjadikan kedudukan 3-0 berselang empat minit kemudian.

Pemain gantian, Jordan Henderson memastikan penjaga gol Ukraine, Heorhiy Bushchan tewas kali keempat dengan menjaringkan gol menerusi tandukan hasil sepakan penjuru yang diambil oleh Mount pada minit ke-63.

Selepas itu, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mencari gol tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.

Kemenangan tersebut menyaksikan England akan menentang Denmark yang terlebih dahulu mara dengan meraih kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech di Stadium Wembley pada awal pagi Khamis depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI