BEKAS penyerang kebangsaan, Rudie Ramli, 38, percaya Luqman Hakim Shamsudin tidak akan berdepan masalah untuk menguasai bahasa Inggeris dan Belanda sepanjang tempoh lima tahunnya bersama kelab Liga Pro Belgium, KV Kortrijk.
Bagi Rudie, Luqman, 18, akan mendapat banyak manfaat apabila menguasai bahasa asing seperti Belanda kerana akan membantu bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari itu untuk menyesuaikan diri dengan budaya di sana.
“Bahasa penting, lagi-lagi apabila boleh bercakap dalam bahasa negara itu sendiri. Kita tidak tahu sikap orang Barat, katakan bakat Luqman bagus, mungkin mereka mahu berkawan dan belajar sesuatu dengannya.
“Pergaulan amat penting. Kita takut kalau dia tidak boleh sesuaikan diri dengan rakan-rakan sepasukan hanya disebabkan bahasa, dia mungkin boleh disisihkan dan kita tidak mahu perkara itu terjadi kepada Luqman.
“Luqman pun akan lama di sana nanti dan secara tidak langsung dia akan kuasai dua lagi bahasa iaitu Inggeris serta Belanda. Mana tahu ke depan ada pula rezeki dia bermain di Belanda,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan pemain berdarah campuran Malaysia dan Belgium, Dion Cools memberikan pesanan kepada Luqman supaya mempelajari juga bahasa Belanda iaitu Flemish yang digunakan majoriti penduduk Kortrijk.
Rudie senada dengan Dion dan menjadikan dirinya sebagai contoh apabila dapat menguasai beberapa perkataan asas bahasa Jerman sewaktu beraksi bersama kelab divisyen tiga Jerman, SV Wehen pada 2000.
Penolong jurulatih skuad Liga M3, Ultimate FC itu mengakui, Luqman lebih beruntung kerana teknologi zaman sekarang serba canggih dan dia hanya perlu menggunakan telefon untuk mempelajari perkataan baharu bagi bahasa asing.
“Orang di sana lebih memilih bercakap bahasa Jerman daripada Inggeris. Mereka pun tidak ramai yang boleh berbahasa Inggeris. Jadi saya cuma sempat belajar bahasa-bahasa bola sepak seperti kiri, kanan atau ada orang di belakang kita.
“Zaman dahulu mana ada telefon canggih seperti sekarang. Dahulu saya cuma menggunakan kamus untuk memudahkan saya bercakap dalam bahasa Jerman, namun berbeza dengan sekarang sebab Luqman boleh terjemah menggunakan Google sahaja,” jelasnya.
Justeru, Rudie amat mengharapkan penyerang dari Kota Bharu, Kelantan itu dapat menyesuaikan diri dan gembira berada di Belgium sekali gus membuka pintu kepada lebih ramai lagi pemain-pemain muda negara berkelana ke Eropah. – K! ONLINE