fbpx

Warga emas maut dilanggar lelaki bawah pengaruh dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal yang rosak teruk akibat dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Kelisa yang dipercayai dipandu lelaki dibawah pengaruh dadah hingga mengakibatkan seorang warga emas maut di Kampung Serapoh di sini pagi tadi - Gambar ihsan PDRM

Oleh SHAARANI ISMAIL

PARIT – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta yang dipercayai dipandu seorang lelaki di bawah pengaruh dadah di Kampung Serapoh, Jalan Parit di sini pagi tadi.

Razali@Nazaei Yaacob, 82, yang menunggang motosikal jenis Demak meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Barudin Wariso berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 pagi ketika warga emas terbabit sedang dalam perjalanan dari rumah menuju ke pasar di Parit.

Barudin berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian sebuah Perodua Kelisa yang dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun itu secara tiba- tiba masuk ke laluan bertentangan di selekoh lalu berlanggar dengan mangsa.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

“Pemandu kereta berkenaan tidak cedera namun dia ditahan selepas pemeriksaan menemui dua paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis methamphetamine dan peralatan mengisap dadah di dalam kotak rokok di tangan kanannya,” katanya.

Katanya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati pemandu kereta itu positif methamphetamine.

Bagaimanapun katanya, semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan tiada sebarang rekod kesalahan lampau.

“Kenderaan terbabit kemudian ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) manakala suspek akan direman di Mahkamah Majistret Parit esok.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1986, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI