PETALING JAYA – Simpati dengan nasib pekerja pembersihan (cleaner) sekolah yang dipotong gaji ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelakon Mimi Lana terpanggil untuk membantu meringankan sedikit beban golongan berkenaan.
Mimi bagaimanapun dia memohon maaf kerana tidak dapat membantu semua yang terjejas pada kali ini.
“Assalamualaikum, saya mencari 10 orang ‘cleaner’ yang gajinya dipotong untuk diberi bantuan.
“Bagi mana-mana cleaner yang dipotong gaji ataupun sesiapa yang kenal boleh DM (mesej) saya.
“Saya minta maaf kerana dapat berikan sumbangan untuk 10 orang sahaja. Insya-Allah kalau ada rezeki lebih kita kongsi lagi ya,” tulisnya menerusi Instagram.
Pada hantaran sama, Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin turut berjanji untuk tidak memuat naik sebarang hantaran dalam media sosial miliknya mengenai latar belakang penerima bantuan yang dibantunya.
Menjengah pada ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan selebriti memuji tindakan dan inisiatif yang dilakukan pelakon drama Hati Yang Tersakiti itu.
Menerusi hantaran berbeza yang dimuat naik dalam InstaStory, kekasih hati kepada pelakon Syafiq Kyle itu memberitahu urusannya menyalurkan bantuan kepada pekerja pembersihan yang memerlukan sudah pun selesai.
“Nak bagi bantuan untuk 10 orang tapi dah terlebih sebab ramai sangat yang memerlukan. Tapi tak mengapalah, rezeki itu datang dari Allah, bukan saya.
“Terima kasih kepada Allah sebab gerakkan hati saya untuk tolong orang. Hari ni juga saya dah hubungi dan bercakap sendiri dengan orang yang saya bantu,” katanya lagi.
Terdahulu, tular dalam media sosial mengenai keputusan sebuah kementerian yang bertindak memotong gaji pokok (minimum) pekerja pembersihan di premis terbabit dan memberi cuti tanpa gaji disebabkan pelaksanaan PKP Fasa 3.0 bermula 1 Jun lalu.
Pun begitu, kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia pula sama sekali bercanggah apabila memaklumkan bahawa gaji minimum pekerja sama sekali tidak boleh dipotong sepanjang PKP dilaksanakan. – K! ONLINE