MUNICH – Kekebalan benteng pertahanan Itali menjadi salah satu faktor kejayaan mara ke separuh akhir Euro 2020 selepas menang 2-1 ke atas pasukan No. 1 dunia, Belgium pada suku akhir di Stadium Wembley awal pagi semalam.
Bagaimanapun, The Azzurri membayar harga mahal terhadap kejayaan itu apabila salah seorang pemain terbaik mereka iaitu pertahanan kiri, Leonardo Spinazzola yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Euro 2020.
Salah seorang penjaring gol Itali dalam perlawanan itu, Lorenzo Insigne berikrar akan memastikan mereka berjaya ke final dengan menewaskan Sepanyol di separuh akhir di Wembley pada 7 Julai ini demi Spinazzola.
“Spinazzola tidak dapat menyembunyikan kesedihannya apabila diusung keluar pada minit ke-79 disebabkan kecederaan tendon Achilles yang menyebabkan dia perlu berehat untuk tempoh beberapa bulan sebelum kembali pulih.
“Kami akan melakukan segala yang termampu untuk ke final deminya,” kata Insigne yang meledak gol kedua selepas Nicolo Barella membuka tirai jaringan buat Itali.
Nama Spinazzola menjadi perhatian ramai selepas bintang AS Roma itu menunjukkan persembahan bertenaga dengan larian-larian membantu bahagian serangan Itali sepanjang aksi Euro.
Spinazzola juga adalah individu yang menggagalkan peluang keemasan penyerang Belgium, Romelu Lukaku untuk menyamakan kedudukan dalam babak kedua.
“Belgium bangkit merapatkan jurang selepas mereka mendapat sepakan penalti. Kami bekerja keras untuk memastikan benteng pertahanan kami tidak lagi dibocori oleh mereka pada separuh masa kedua,” kata bek tengah Itali, Leonardo Bonucci. – AGENSI