fbpx

Kad merah jejas aksi – Shaqiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FREULER (kanan) dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras ke atas Moreno menyebabkan Switzerland terpaksa beraksi 10 pemain untuk tempoh lebih 40 minit. – AFP

SAINT PETERSBURG – Perjalanan fantastik Switzerland pada saingan Euro 2020 ­akhirnya menemui titik noktah apabila mereka tersingkir di pentas suku akhir selepas kalah kepada Sepanyol.

Skuad kendalian Vladimir Petkovic itu ditunjukkan jalan keluar selepas tewas 1-3 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi yang berlangsung di Stadium Krestovsky awal pagi semalam.

Meskipun ketinggalan 0-1 seawal minit kelapan selepas pemain tengah, Denis Zakaria menjaringkan gol sendiri, namun Switzerland kembali menya­makan kedudukan menerusi kapten, Xherdan Shaqiri pada separuh masa kedua.

Bagaimanapun, hasrat skuad La Nati untuk memburu gol kemenangan pada waktu permai­nan sebenar tidak kesampaian apabila Remo Freuler diarah keluar padang selepas dilayangkan kad merah pada minit ke-77 kerana mengasari Gerard Moreno.

Kata Shaqiri, beraksi dengan 10 pemain sehingga ke masa tambahan bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan mereka perlu berdepan serangan demi serangan yang dilancarkan skuad La Roja.

“Sebenarnya kami sudah hampir dengan kemenangan. Sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata mengenai apa yang sudah dilakukan oleh rakan sepasukan pada perlawanan hari ini (semalam).

“Sedikit mengecewakan apabila kami terpaksa beraksi de­ngan 10 pemain gara-gara kad merah. Sekiranya 11 lawan 11, saya yakin perlawanan akan jadi lebih terbuka.

“Bermain dengan 10 orang menentang sebuah pasukan seperti Sepanyol bukanlah sesuatu yang mudah, namun kami mampu bertahan sehingga ke penentuan sepakan penalti. Bagi saya, ia satu pencapaian yang baik,” ujar pemain Liverpool itu.

Sementara itu, penjaga gol Switzerland, Yann Sommer me­ngakui bangga dengan aksi yang ditampilkan meskipun kecewa apabila gagal merealisasikan impian mara ke separuh akhir.

“Saya sangat bangga dengan pasukan ini kerana kami sedar akan berdepan situasi sukar sepanjang perlawanan. Saya akui layangan kad merah amat memeritkan tetapi kami berjaya hadapinya dengan baik,” katanya.
–AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI