PASIR PUTEH – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali merampas sebanyak 70,000 batang rokok putih yang disyaki diseludup dari negara jiran menggunakan jalan laut di pesisir Pantai Pachakan, Semerak di sini hari ini.
Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, serbuan dijalankan pada pukul 6 pagi selepas pihaknya mengintip pergerakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang bergerak ke lokasi tersebut.
Katanya, bagaimanapun, pemandu bertindak memecut laju kenderaan dipandunya dan meninggalkan beberapa bungkusan plastik hitam selepas menyedari kehadiran anggota PPM.
“Pemeriksaan di dalam plastik itu telah menjumpai 70,000 batang rokok putih yang bernilai RM52,500. Anggota PPM telah menunggu selama 30 minit sebagai perangkap sekiranya ada individu yang akan datang mengambil rokok tersebut.
“Bagaimanapun, tiada yang datang mengambilnya. Selain itu, tiada suspek yang ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Norzaid, siasatan awal mendapati, rokok itu dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dijual di pasaran negeri Kelantan dan Terengganu.
Katanya, suspek yang terlibat dalam sindiket penyeludupan rokok di kawasan itu juga dipercayai didalangi oleh penduduk tempatan yang menggunakan bot dan meninggalkan barangan tersebut di kawasan pesisir pantai.
Tambahnya, barang kes dibawa ke Markas Taktikal PPM Tok Bali di sini untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929