MACHANG – Satu mayat reput yang sudah berkecai keseluruhan anggota badannya ditemui dalam keadaan mengerikan di bawah pokok petai di Lata Cheng di sini semalam.
Mayat yang tidak dapat dikenal pasti jantina dan identiti itu dipercayai telah dibawa oleh binatang buas yang membahamnya ke lokasi tersebut.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, siasatan awal mendapati mayat itu dijumpai penduduk yang mengusahakan kebun berhampiran petang semalam.
Menurutnya, pekebun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh sebelum menyerahkan kes kepada IPD Machang kerana lokasi itu terletak di daerah ini.
“Polis telah menjalankan siasatan di kawasan berbukit iaitu lokasi mangsa ditemui pekebun semalam (kelmarin). Bagaimanapun, pemeriksaan gagal menemui mayat mangsa kecuali kesan tapak kaki haiwan liar sebelum operasi dihentikan apabila menjelang waktu malam.
“Ketika operasi mencari disambung semula pada pukul 10 pagi tadi, polis menemui mayat itu kira-kira tiga meter dari lokasi asal dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dan anggota Jabatan Perhutanan Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Menurut Ganti, berdasarkan siasatan di lokasi kejadian, tulang-tulang pada bahagian badan mangsa didapati sudah berkecai dengan ketulan daging manusia turut ditemui. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929