PETALING JAYA – Gerakan koperasi negara yang menghampiri usia 100 tahun kekal memberi manfaat kepada anggotanya termasuk memberi pendekatan efektif dalam membantu masyarakat meningkatkan taraf hidup.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya terus yakin bahawa gerakan koperasi akan terus menyumbang kepada kestabilan sosioekonomi masyarakat dalam menghadapi pandemik Covid-19.
“Statistik gerakan koperasi negara sehingga Disember tahun lalu mencatatkan sejumlah 14,629 buah koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan individu kira-kira 6.5 juta orang, jumlah modal syer sebanyak RM15.8 bilion dan aset berjumlah RM150.5 bilion.
“Jika dilihat hanya sedikit perbezaan jumlah perolehan yang disumbangkan oleh gerakan koperasi pada tahun 2021 iaitu RM41.5 Bilion berbanding RM45.8 bilion pada tahun lalu.
“Ini jelas menunjukkan gerakan koperasi merupakan satu institusi yang amat berdaya tahan walaupun menghadapi beberapa krisis ekonomi yang telah memberi impak kepada penduduk dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata Abdul Fattah, sekiranya usaha menangani pandemik ini berjalan lancar, gerakan koperasi mempunyai peluang menyumbang RM60 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025.
“Selain itu, Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi yang diperuntukkan bernilai RM20 Juta bagi menggalakkan usahawan yang terjejas untuk menjalankan aktiviti ekonomi secara berkumpulan amat bertepatan bagi mempergiatkan semula penerokaan peluang perniagaan baharu.
“Angkasa juga giat menyarankan koperasi untuk mempelbagaikan perniagaan dan melibatkan diri dalam sektor pemborongan serta peruncitan melalui Projek Barang Asas 100 (BA100). Kita juga menyasarkan penglibatan 3,000 buah koperasi pada tahun ini sebagai usaha menggalakkan perniagaan berasaskan pendigitalan,” jelasnya.
Tambahnya, Angkasa sebagai badan yang mewakili pergerakan koperasi Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa akan terus memainkan peranannya membimbing serta memperkasa model perniagaan koperasi.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Koperasi Antarabangsa 2021 kepada seluruh anggota koperasi dan rakyat Malaysia,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929