BAITULMUQADDIS – Israel semalam melancarkan serangan udara ke atas Gaza sebagai tindak balas terhadap pelancaran belon api ke atas penempatan Israel dari Palestin, lapor laman berita The Guardian semalam.
Sumber keselamatan Hamas berkata serangan itu terkena tapak latihan. Tiada kecederaan dilaporkan.
“Sebagai tindak balas terhadap belon api yang ditembak ke wilayah Israel hari ini, jet pejuang (tentera) menyerang sebuah tapak pembuatan senjata milik Hamas,” demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh tentera Israel.
Kelmarin, pasukan bomba Israel berkata belon api yang dilepaskan dari Gaza itu menyebabkan empat kebakaran kecil di selatan Eshkol di sempadan Gaza.
Kebakaran ‘kecil dan tidak membahayakan’ itu segera dipadam dan berada dalam keadaan terkawal.
Pertempuran selama 11 hari antara Israel dan Palestin berakhir pada 21 Mei lalu dengan pengisytiharan genjatan senjata.
Konflik tersebut mengorbankan 260 orang warga Palestin dan 13 orang warga Israel.
Israel mengekalkan blokade (pengepungan wilayah) bagi melumpuhkan Gaza sejak 2007, tahun di mana Hamas mula mengambil alih kekuasaan di wilayah itu. -Agensi