TANGGAL 10 Julai nanti menghadirkan 1001 rasa buat penyanyi Deja Moss apabila bakal ‘terbang’ meninggalkan keluarga dan negara tercinta untuk berhijrah ke Chicago, Amerika Syarikat.
Bukan merajuk terhadap industri nyanyian, jauh sekali membawa diri, sebaliknya pemilik nama penuh Sharifah Hadijah Wan Moss, 47, ini hanya mahu berada di sisi suami tercinta, Maher Khani yang dikahwini sejak 2019.
Katanya, kehadiran lelaki berketurunan Amerika-Syria itu membuatkan dirinya semakin teruja mencari bekalan akhirat, sekali gus mensyukuri nikmat yang Allah limpahkan kepadanya.
“Memang pada dasarnya berat hati ini melangkah jauh, terutama mengenangkan mak dan ayah yang semakin berusia namun tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya.
“Cuma memikirkan teknologi juga akan sentiasa mendekatkan kami, saya teguhkan hati untuk meneruskan penghijrahan ini yang sudah lama diperincikan secara mendalam.
“Bagi saya, tak kira dimana pun sayap saya terbang, mak ayah, adik beradik, saudara mara dan rakan selain Malaysia tetap berada dalam hati. Ini tanah tumpah darah, tiada yang lebih istimewa selain di tempat sendiri.
“Saya akan tetap pulang ke tanah air, tambahan pula tiada apa yang saya mahu kejarkan lagi kecuali bekalan akhirat. Itu juga yang suami saya tekankan kerana pada usia ini, dia mahu kami sama-sama inginkan ketenangan,” katanya.
Deja dan pasangannya yang berusia 52 tahun itu mendirikan rumah tangga di Chicago pada Jun 2019 iaitu selepas enam bulan bercerai dengan ahli perniagaan, Azfendy Azzuddin Ahmad.
Sebelum itu, perkahwinan yang dibina dengan bekas suaminya pada 20 Ogos 2008 berakhir dengan talak satu pada Oktober 2018 tanpa dikurniakan cahaya mata.
Takdir Hidup
Akui anak seni asal Kuching, Sarawak itu lagi, sebelum meninggalkan tanah air dia berbesar hati dapat berkongsi pengalaman hidup menerusi penghasilan buku biografi berjudul Hidupku Takdirku.
Katanya, segala rahsia dan kisah perjalanan kehidupannya meliputi kerjaya, masalah kemurungan, rumah tangga, perceraian, berkahwin semula dan momen bahagia didedahkan bagi ikhtibar kepada semua.
Enggan berselindung, Deja mendedahkan dia pernah mengalami masalah kemurungan teruk selama empat tahun hingga terdorong ke arah perasaan mahu menamatkan riwayat diri sebanyak tiga kali.
Lebih suka memendam perasaan selain takut untuk mendapatkan rawatan pakar menjadikan masalah berkenaan terus membelenggu diri antara tahun 2004 hingga 2008.
“Pada awalnya saya sangka masalah imsomnia, selalu berdebar-debar, takut tanpa sebab dan mudah menangis itu boleh diatasi tetapi akhirnya saya berjumpa doktor tetapi sangat bergantung kepada ubat.
“Ketika itu saya belum berkahwin bekas suami, jadi apabila sendirian muncullah bisikan yang mahu saya mengelar pergelangan tangan atau terjun bangunan, cuma iman saya masih kuat untuk cepat-cepat istigfar.
“Mujur keluarga dan sahabat baik memberikan semangat dan membawa saya berjumpa doktor. Bukan mudah melalui semua emosi itu, malah saya rasa bertuah tidak dibiarkan untuk terus dibuai emosi sendirian.
“Dulu rahsia ini saya simpan kerana takut dilabel gila apatah lagi ketika itu isu mental dianggap taboo. Kini melihatkan situasi kronik kes bunuh diri yang tercetus akibat pendemik Covid-19, saya bangun bersuara sebagai pengajaran,” kongsinya lagi.
Biarpun penulisan untuk biografi berkenaan dirangka lebih setahun lalu, penerbitannya kini dirasakan bertepatan dengan masa sekali gus diharap menjadi penyuntik semangat untuk terus cekal berdepan ujian.
“Saya harap perkongsian saya yang sarat suka duka ini menjadi pemangkin untuk pembaca bangkit semula. Jika rasa tekanan, jangan pendam kerana ramai yang masih boleh dijadikan bahu untuk bersandar.
“Semua orang mempunyai masalah tersendiri namun yang membezakan adalah cara kita menghadapinya. Paling utama, jangan ambil jalan singkat,” ulas penghibur dihormati itu lagi.
Sementara itu nada suara Deja kembali bertukar ceria tatkala menyentuh perihal suaminya serta tiga orang anak tiri berusia lingkungan 32 tahun hingga 18 tahun yang ditinggalkan sementara sejak Mac tahun lalu.
Katanya, biar dipisahkan beribu batu sepanjang kepulangannya ke tanah air, boleh dikatakan hampir setiap hari mereka berhubung untuk berkongsi perkembangan terutama menerusi panggilan video.
“Alhamdulillah, anak-anak menerima saya dengan hati terbuka. Mereka seronok setiap kali saya berkongsi mengenai keindahan Malaysia terutama makanan dan masyarakat di sini.
“Apabila tinggal di sana nanti, mereka sudah cadangkan supaya saya sentiasa ‘update’ perkembanan saya dengan peminat pula. Mereka tahu saya aktif di sini sebagai penyanyi.
“Apa pun kita tengok saja nanti. Insyallah saya mungkin berkongsi keenakan masakan tempatan malah ikut perancangan selepas ini buku resipi pula akan muncul di pasaran,” katanya. – K!ONLINE