IPOH – Seorang lelaki dijumpai mati dengan ikatan tali pada badan di dalam bilik tidurnya di Taman Bersatu, Simpang Pulai dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 20-an itu dijumpai ahli keluarganya kira-kira pukul 6.30 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurut beliau, keadaan mangsa disedari keluarganya setelah dia tidak keluar dari bilik sejak pagi.
“Pemeriksaan di bilik itu mendapati pintu berkunci dari dalam sebelum mereka memanggil jiran untuk membuka pintu tersebut.
“Mangsa yang masih bujang itu ditemui terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri dan didapati terdapat lilitan tali pada badannya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Menurut Yahaya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian lelaki tersebut.
Katanya, pihaknya membuka kertas siasatan mati mengejut ke atas mangsa dan mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
“Pada mulanya, mayat mangsa dijumpai dalam keadaan mencurigakan kerana terdapat beberapa ikatan pada badannya. Bagaimanapun, setelah pemeriksaan lanjut dijalankan, ikatan itu didapati bukan ikatan yang menyebabkan kematian.
“Kita juga menjumpai cecair di dalam bilik mangsa dan akan menghantar bukti berkenaan ke Jabatan Kimia untuk mengenal pasti kandungan cecair berkenaan,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929