KUALA LANGAT – Jawatankuasa Masjid Kampung Jenjarum di sini wajar dijadikan contoh apabila memperkenalkan bantuan secara pandu lalu dalam meringankan beban kepada mereka yang terkesan sepanjang pandemik Covid-19.
Langkah tersebut dilaksanakan sebagai kesinambungan dilakukan pihak berkenaan sejak Ramadan lalu.
Ketua Biro Kebajikan Jawatankuasa masjid itu, Mohd. Muslimen Omar,53, berkata, drive thru tersebut dilakukan setiap Jumaat dan Ahad bermula pukul 8 pagi sehingga pek bantuan termasuk sayuran itu habis.
Katanya, pihaknya turut mendapat sokongan daripada segelintir individu yang menginfaqkan wang dalam berkongsi rezeki.
“Idea program amal tersebut sebenarnya bermula pada bulan Ramadan tahun ini dengan modal RM100 dalam bentuk pengagihan 100 pek makanan mengandungi dua biji kuih untuk hidangan berbuka puasa.
“Program itu mendapat sambutan dengan kita meneruskan sepanjang tempoh ini termasuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ( PKPD) ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, sumbangan dalam pelbagai bentuk seperti kewangan, makanan dan kemahiran turut disalurkan kepada pusat-pusat kebajikan dan sekolah agama khususnya di daerah ini.
Ujarnya, Gerobok Rezeki Jalinan Kasih juga diwujudkan di satu sudut masjid tersebut agar kita dalam memastikan bantuan menyeluruh kepada kesemua yang terkesan.
“Kita berharap kesemua bantuan ini dapat memastikan kelangsungan kehidupan masyarakat selaras dengan #kitajagakita,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929