fbpx

SUV elektrik Ford Mustang Mach-E GT boleh dibawa berlumba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SECARA umumnya, Mustang Mach-E GT Performance Edition mempunyai kelebihan dari segi prestasi dengan komponen tertentu yang lebih sporty.

FORD Mustang Mach-E GT dan Mach-E GT Performance Edition merupakan antara jentera yang paling ditunggu-tunggu para peminat jenama berkenaan.

Bahkan, Ford sendiri mengakui tempahan bagi Mustang Mach-E GT yang merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) begitu menggalakkan biarpun ia hanya akan mula dijual beberapa bulan lagi di pasaran Amerika Syarikat (AS).

Baru-baru ini, kedua-kedua varian tersebut lulus pensijilan serta pelabelan jarak Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) AS.

Menurut data terbaharu, kenderaan elektrik berkenaan, Mustang Mach-E GT mampu dipandu sejauh 435 kilometer (km), manakala Mach-E GT Performance Edition sejauh 418km dengan cas penuh.

Ford turut memaklumkan, Mustang Mach-E GT Performance Edition yang dilengkapi dengan tayar musim panas Pirelli dengan penyerap hentakan MagneRide mampu bergerak dari titik pegun ke 96 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 3.5 saat sahaja.

Bagi Mustang Mach-E GT pula, ia berupaya bergerak dari titik pegun ke 96km/j dalam tempoh 3.8 saat.

REKA bentuk belakang Mustang Mach-E GT yang moden dengan gaya tersendiri.

Perbezaan itu berlaku memandangkan Mach-E GT Performance Edition berupaya menjana kuasa maksimum 439hp dan 860Nm tork. Bagi Mach-E GT pula, biarpun kuasa maksimum sama dicatatkan, tork dihasilkan adalah 813Nm.

Bagi mereka yang tidak mengetahui tentang jentera berkenaan, ia sebenarnya model SUV pacuan semua roda elektrik (eAWD).

Di bahagian dalamnya, warna hitam mendominasi estetika Mustang Mach-E GT dengan tempat duduknya dibaluti material Black Onyx ActiveX Seating dengan Miko Insert serta jahitan metalik gangsa.

Seperti jentera moden lain, ia turut didatangkan dengan panel instrumen digital yang agak besar iaitu bersaiz 10.2 inci serta skrin sesentuh 15.5 inci.

Dari segi luarannya, ia mempesona apabila dipadankan dengan rim aluminium 20 inci, cuma warna rim bagi Mach-E GT Performance Edition didatangkan secara gabungan dua warna termasuklah Ebony Black (hitam).

Rim aluminium tersebut digandingkan bersama tayar musim panas Pirelli 245/45R20. Bukan itu sahaja, kaliper Brembo berwarna merah turut membantu menaikkan ciri garang SUV berkenaan.

Kedua-dua varian itu juga didatangkan dengan mod pemanduan terbaharu yang diperkenalkan iaitu Unbridled Extend yang dicipta bersesuaian dengan pemanduan di litar.
Dengan mod ini, kenderaan dapat dipacu secara stabil dengan keupayaan mengimbangi konsistensi pusingan lap.

RUANG dalaman kenderaan ini nampak begitu mewah dengan material-material bermutu tinggi.

Kedua-dua varian ini juga dilengkapi dengan pakej Ford CO-Pilot360 Active 2.0. Ini membolehkan jentera dipandu secara automatik tanpa kawalan stereng oleh pemandu.

Bagaimanapun, fungsi itu hanya boleh digunakan di bahagian tertentu lebuh raya meliputi kawasan sepanjang 100,000km bergelar Hands-Free Blue Zones di rantau Amerika Utara.

Ini dapat direalisasikan kerana Mustang Mach-E GT dan Mach-E GT Performance Edition turut dilengkapi teknologi Ford Blue Cruise yang membantu pemandu mengawal stereng, pecutan dan brek dalam keadaan pemanduan bebas tangan (hands free).

Bahkan, jentera ini juga memiliki sistem pemantauan bagi memastikan sebarang salah guna sistem kenderaan tersebut dapat dikesan.

GT adalah merujuk kepada frasa grand touring di mana jentera itu dibina untuk penjelajahan dan berkuasa bagi pemanduan jauh.

Dengan pengenalannya di pasaran AS tidak lama lagi, dua buah jentera ini bakal bersaing sengit bersama Kia EV6 dan Tesla Model Y di pasaran.

Harga permulaan ditawarkan bagi Mustang Mach-E GT ialah AS$59,900 (RM248,944), manakala Mustang Mach-E GT Performance Edition dijual pada harga AS$64,900 (RM269,724).

Warna menarik yang ditawarkan termasuklah Cyber Orange Metallic Tri-Coat (jingga), Dark Matter Gray Metallic (kelabu) dan Rapid Red Metallic Tinted Clearcoat (merah).

Selain itu, ia turut didatangkan dalam warna Star White Metallic Tri-Coat (putih), Grabber Blue Metallic (biru), Shadow Black (hitam), Iconic Silver Metallic (perak) dan Space White Metallic (putih).

Ford Mustang bukanlah sebuah jentera yang asing bagi peminat tempatan kerana ia boleh dilihat dipandu di atas jalan raya dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, dengan penerimaan jentera elektrik yang masih lagi rendah dalam kalangan peminat tempatan, boleh dikatakan Mustang Mach-E GT mahupun Mach-E GT Performance Edition tidak akan dipasarkan di sini dalam masa terdekat.

Biarpun trend pengguna kini beralih ke arah jentera SUV, ia masih belum kukuh untuk Ford mula memasarkan dua jentera berkenaan di negara ini.

Selagi infrastruktur pengecasan jentera elektrik juga tidak dibangunkan secara agresif dan meluas di seluruh negara, ia mengehadkan potensi Ford Mustang Mach-E GT menemui peminat tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI