Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PERJALANAN Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Kumpulan G, Liga Juara-juara Asia (ACL) nampaknya berakhir selepas tewas sekali lagi kepada Pohang Steelers dengan jaringan 2-0 di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand malam kelmarin.
Keputusan tersebut menyaksikan wakil tunggal negara dalam kejohanan itu yang merekodkan tiga kekalahan dari empat perlawanan dan hanya mengutip tiga mata setelah mencatatkan kemenangan ke atas pasukan tuan rumah, Ratchaburi FC minggu lalu.
Biarpun JDT menang dua baki aksi menentang Nagoya Grampus dan Ratchaburi, manakala Pohang pula tewas dalam dua perlawanan terakhir, ia tidak mengubah kedudukan kerana wakil dari Korea Selatan itu lebih cemerlang mengikut rekod pertemuan apabila menang kedua-dua perlawanan ke atas JDT.
Pengendali skuad Harimau Selatan, Benjamin Mora terpaksa akur dengan kehebatan juara tiga kali pada kejohanan antarabangsa itu apabila menjadi pasukan yang lebih baik pada pertemuan malam tadi.
Mora, 42, berkata, pada awal babak permainan, anak-anak buahnya beraksi dengan cukup baik apabila mampu memberikan tentangan hebat terhadap pasukan lawan sehinggalah dibolosi gol pertama jaringan Lee Seung-Mo pada minit ke-33.
“Jaringan tersebut sedikit sebanyak merentap emosi dan mental pemain yang bermula dengan baik sebaik sepak mula. Pasukan kami dihukum hanya kerana melakukan satu kesilapan yang kecil.
“Kami cuba bangkit dengan bermain lebih menyerang, menggandakan asakan ke arah kubu lawan serta memperbanyakkan serangan menerusi sayap. Kami juga membuat pertukaran bagi membawa masuk pemain lebih bertenaga bagi memperkuatkan jentera serangan.
“Kami sudah melakukan segala-galanya termasuk bermain hantaran jauh, namun semuanya tidak membuahkan hasil. Apa-apa pun, tahniah diucapkan buat Pohang, mereka adalah pasukan yang lebih baik malam ini,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan malam kelmarin.
Pada perlawanan itu, Seung-Mo membuka jaringan pada minit ke-33 menerusi rembatan kaki kanannya sebelum Kang Sang-Woo menambah derita JDT apabila meledak gol kedua perlawanan pada minit ke-37.