PETALING JAYA – Kakitangan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika ini terpaksa menjalankan prosedur dan pemulihan kardiopulmonari (CPR) kepada pesakit di atas lantai disebabkan kapasiti hospital berkenaan telah penuh.
Seorang jururawat di hospital berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata, paling ketara adalah di Jabatan Kecemasan HKL sehingga kehabisan katil kerana kemasukan pesakit yang begitu ramai sejak April lalu.
“Memang saya tidak terfikir benda ini akan berlaku di HKL kerana kapasiti hospital ini yang luas. Kalau ada perkongsian di media sosial berkenaan keadaan di HKL ketika ini perkara itu adalah benar.
“Bukan hanya katil malah kanvas pelapik untuk pesakit juga sudah kekurangan. Saya risau sekiranya situasi ini makin parah selepas ini,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, satu catatan di Instagram seorang doktor telah menyuarakan kebimbangannya berhubung situasi Covid-19 dengan berkata, Jabatan Kecemasan HKL tidak mempunyai katil dan kanvas yang mencukupi untuk menampung kemasukan pesakit.
Jelas hantaran tersebut, semua lapan wad hospital itu penuh dan alat bantuan pernafasan juga tidak cukup untuk diagihkan. Malah tambahnya, pegawai perubatan terpaksa memilih pesakit mana yang akan dipilih untuk mendapatkan rawatan terlebih dahulu.
Jelas hantaran itu lagi, bukan sahaja HKL malah Hospital Sungai Buloh juga turut mengalami situasi sama apabila melampaui kapasiti dan tidak menerima kes rujukan seterusnya memberi risiko kepada pesakit yang memerlukan rawatan geriatrik. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929