BARCELONA – Pihak pengurusan Barcelona terus menghangatkan pasaran perpindahan kali ini apabila secara terbuka membuat kenyataan mereka sedang cuba mendapatkan khidmat pemain tengah Manchester City, Bernardo Silva.
Biarpun berjaya memenangi anugerah pemain terbaik kelab itu pada musim lalu, kelibat Silva di padang ketika ini agak terhad selepas kemunculan pemain muda, Phil Foden apabila sekadar membuat 23 penampilan di Liga Perdana Inggeris musim ini.
Situasi tersebut menyebabkan Barcelona berasakan mereka mempunyai peluang untuk mendapatkan Silva, selain bersedia menawarkan pemain mereka, Nelson Semedo untuk menarik perhatian City.
Sumber Barcelona memberitahu, mereka kini sedang mengadakan rundingan bersama Silva untuk melihat sama ada pemain berkenaan berminat untuk ke Camp Nou atau sebaliknya.
Kekurangan waktu bermain Silva disedari oleh pengurus City, Pep Guardiola yang menyatakan beberapa sebab mengapa pemain itu tidak berada dalam kesebelasan utama The Citizen musim ini.
“Mungkin ia salah saya atau Phil (Foden) berjaya mempamerkan aksi yang lebih baik, selain Riyad (Mahrez) juga mampu mengekalkan prestasinya.
“Saya mengakui semua pemain beraksi dengan baik, tetapi perlu memilih pemain yang benar-benar terbaik untuk diturunkan pada setiap perlawanan,” katanya.
Silva menyertai City sejak tiga musim lalu selepas melengkapkan perpindahan dari Monaco dengan nilai £43.5 juta (RM238.40 juta).
Barcelona ketika ini sudah berjaya mendapatkan pemain tengah Juventus, Miralem Pjanic yang ditukarkan dengan Arthur Melo dan mahu terus memperkuatkan jentera tengah apabila menamakan Silva sebagai pemain terbaharu dalam senarai buruan mereka untuk di bawa ke Camp Nou musim depan. – AGENSI