fbpx

Dua beregu kunci utama buru Piala Thomas – Jalani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON (kiri) dan pasangannya, Wooi Yik dianggap antara permata baharu sukan badminton negara apabila pernah menjadi naib juara kejohanan Seluruh England pada tahun lalu.

HANYA tinggal lebih kurang dua bulan lagi untuk skuad badminton negara mempersiapkan diri menjelang saingan Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark ber­mula 3 hingga 11 Oktober depan.

Ketiadaan legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei pada edisi kali ini sudah pasti menghadirkan gusar memandangkan beliau sering menjadi sandaran untuk mengutip mata pertama negara.

Bagaimanapun, pemenang Piala Thomas 1992, Datuk Jalani Sidek ada formula tersendiri untuk dikongsi bagi memastikan skuad negara mampu mencabar pasukan-pasukan lain nanti.

Beliau percaya, Malaysia memiliki beberapa beregu terbaik dunia ketika ini seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang boleh dijadikan sandaran menyumbang mata.

“Terus-terang saya katakan, sukar untuk kita bersaing dalam acara perseorangan kali ini. Bagaimanapun, kita memiliki kombinasi beregu lelaki yang boleh dikatakan kuat.

“Justeru, bagi saya beregu lelaki­ perlu menggalas misi me­ngutip dua mata wajib buat Malaysia, jadi formulanya adalah dua mata daripada beregu dan satu mata menerusi perseorangan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui pada majlis perkahwinan anaknya di Ampang kelmarin.

Pada masa sama, juara Piala Dunia 1990 dan 1991 itu berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjadikan kejohanan dalaman yang berlangsung ketika ini sebagai medan memilih pemain terbaik ke Piala Thomas.

“Sebenarnya, kejohanan se­perti ini bagus kerana menjemput pemain-pemain luar (profesional) untuk turut serta memandangkan ramai pemain bagus berada di luar sana.

“Mereka (BAM) perlu bijak dan terbuka dalam pemilihan pemain nanti, bukan semata-mata mengharapkan pemain naungan BAM sahaja. Tidak boleh ada pilih kasih kerana kita mahukan yang terbaik,” tegas Jalani.

Sebagai rekod, Malaysia dijangka­ tidak berdepan masalah mara ke suku akhir apabila diundi­ dalam Kumpulan A bersama musuh tradisi, Indonesia serta dua wakil Eropah, England dan Belanda.

Meskipun dilihat sukar menjulang Piala Thomas, namun seluruh rakyat Malaysia sentiasa mengharapkan skuad badminton negara mampu menamatkan kemarau 28 tahun selepas kali ter­akhir memenanginya pada 1992. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI