TAMPIN – Seorang orang kelainan upaya (OKU) yang mengibarkan bendera putih di pagar rumahnya di Taman Sentosa Gemas, di sini, tadi diberikan bantuan segera oleh Pemuda UMNO Bahagian Tampin.
Ketuanya, Muhammad Hafez Hezmi berkata, wanita OKU berkenaan tinggal berseorangan dan mula mengibarkan bendera disebabkan sudah kehabisan bekalan makanan keperluan harian.
Menurutnya, wanita berkenaan kini di bawah pemantauan jiran-jiran yang turut sama mengetahui keadaan yang dialami oleh wanita tersebut yang memerlukan bantuan.
“Kami (Pemuda UMNO) akan segera menghulurkan bantuan sekiranya terdapat maklumat rumah di sekitar kawasan Tampin mengibarkan bendera putih. Bendera putih ini salah satu cara individu terkesan untuk memaklumkan kepada orang lain bahawa mereka memerlukan bantuan segera.
“Selain satu kes di Gemas ini, kita juga hulurkan bantuan makanan kepada tujuh sekeluarga di Pekan Tampin yang juga mengibarkan bendera putih di hadapan rumah sewanya sejak pagi tadi,” katanya, di sini, tadi.
Hafez berkata, masih ramai lagi individu yang tidak mengetahui cara memohon bantuan dan sekiranya kempen bendera putih tersebut boleh membantu meluahkan keperluan tersebut, tindakan berkenaan perlu disambut dengan baik.
Menurutnya, sebagai langkah awal dan persediaan, Pemuda UMNO Bahagian Tampin akan menyediakan kira-kira 100 pek makanan keperluan harian esok untuk diagihkan kepada rumah yang mengibarkan bendera putih serta senarai nama yang telah dikesan memerlukan oleh ahli Pemuda. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929