PETALING JAYA – Polis Selangor akan menggunakan sekurang-kurang 80 peratus kekuatan anggotanya untuk beroperasi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan bermula esok.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, langkah itu diambil bagi mengawal pergerakan penduduk di sekitar negeri itu yang kini terbahagi kepada dua di mana terdapat 34 mukim dikenakan PKPD manakala 31 lagi kekal sebagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ada yang bertanya adakah polis akan meletakkan kawat duri, kita maklumkan itu adalah mustahil. Jadi apa yang dilakukan ialah menetapkan sekatan jalan raya (SJR) di laluan-laluan yang biasa dilalui orang ramai.
“Kita juga akan menetapkan pasukan pemantau di beberapa tempat bagi memastikan tidak ada orang merentas kawasan yang telah dikenakan PKPD,” katanya ketika di program bual bicara mengenai PKPD yang disiarkan secara maya tadi.
Arjunaidi berkata, secara keseluruhannya kini telah terdapat sebanyak 120 ke 140 SJR yang diadakan secara kekal di seluruh Selangor.
“Pada masa sama ada juga SJR yang dilakukan secara mobil yang akan sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
“Selain itu juga, polis banyak melaksanakan ‘snap check’ untuk memastikan tiada penduduk yang merentas kawasan yang mereka tidak sepatutnya berada,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929