KEMAMAN – Bagai tidak serik, sebuah kilang membuat sarung tangan terus melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh walaupun pernah dikompaun sebelum ini.
Sebelum ini, pengurusan kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Kerteh itu pernah dikenakan kompaun RM10,000 pada 2 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pengurusan kilang berkenaan sekali lagi dikompaun RM10,000 semalam atas kesalahan gagal melaksanakan penjarakan fizikal dalam kalangan pekerja di kawasan terbuka.
“Sewaktu dikompaun buat kali pertama pada 2 Jun lalu, pengurusan kilang telah diingatkan agar membaiki dan meningkatkan pematuhan SOP PKP.
“Malangnya, pemeriksaan hari ini mendapati kesalahan sama masih dilakukan. Kompuan RM10,000 sekali lagi dikeluarkan buat kali kedua dalam tempoh sebulan,” katanya selepas melakukan pemeriksaan Op Pematuhan di kilang berkenaan dekat sini hari ini.
Tegas Hanyan, pematuhan SOP PKP tersebut perlu dititikberatkan bagi mengelak penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja kilang.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 144 kompaun melanggar SOP PKP dengan nilai keseluruhan RM1.002 juta telah dikeluarkan di seluruh daerah itu sejak 31 Mei lalu. – K! ONLINE