fbpx

APM tangkap ular sawa batik 80 kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota APM SPT menangkap seekor ular sawa seberat 80 kg di Bukit Mertajam hari ini.

SEBERANG PERAI – Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menangkap seekor ular sawa batik seberat kira-kira 80 kilogram (kg) di Kampung Machang Bubuk, Bukit Mertajam di sini hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah SPT, Kapten (PA) Mohd. Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita berumur 40 tahun yang memaklumkan penemuan seekor ular sawa kira-kira pukul 8.45 pagi.

Menururtnya, haiwan itu didapati sedang melingkar di dalam semak di belakang rumah wanita berkenaan ketika dia ingin membersihkan kawasan tersebut.

Beliau berkata, anggota APM kemudiannya dikejarkan ke lokasi dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular sepanjang kira-kira 6 meter berkenaan.

“Kami tidak berdepan masalah kerana ular sawa itu tidak agresif berikutan masih kekenyangan atau fasa untuk menyalin kulit.

“Ular itu akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Seberang Perai untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, panggilan kecemasan tangkapan ular adalah kes tertinggi dikendalikan APM Machang Bubuk pada bulan lalu iaitu membabitkan 108 daripada 229 kes.

Sementara itu, Mohd. Fadhil berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai agar segera menghubungi pihaknya atau pasukan keselamatan lain sekiranya berdepan reptilia berkenaan.

“Jangan cuba menangkap ular sendiri, sebaliknya perhatikan pergerakan haiwan itu sebelum pasukan keselamatan tiba,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI