KUALA TERENGGANU – Kebenaran kembali menunaikan solat Jumaat dengan kapasiti 40 jemaah bagi setiap masjid mulai hari ini memberi keterujaan kepada jemaah sehingga ada yang sanggup menunggu seawal pukul 10 pagi lagi.
Tinjauan Kosmo! di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai di sini mendapati sambutan hangat itu menyebabkan pintu masjid itu dibuka awal pada pukul 11 pagi dengan memberi keutamaan kepada 40 jemaah yang hadir paling awal.
Ramai pulang hampa namun segelintir nekad tetap membentangkan sejadah masing-masing untuk menunaikan solat Jumaat di luar pekarangan masjid berkenaan.
Seorang jemaah, Nasaruddin Salim, 54, berkata, dia bersyukur terpilih untuk menunaikan solat Jumaat selepas lebih sebulan tidak dapat melakukannya ekoran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.
“Sukar hendak gambar perasaan saya sewaktu kembali menjejakkan kaki ke ruangan solat di masjid ini. Rasa sampai hendak menitiskan air mata terharu.
“Saya harap kapasiti jemaah untuk solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di negeri ini dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Kami sanggup mematuhi SOP ketat asalkan dapat ke rumah Allah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dengan perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin kembali memperkenan pelaksanaan solat Jumaat di masjid-masjid negeri ini dengan kapasiti 40 jemaah tidak termasuk ahli jawatankuasa. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929