KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan penghujahan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi didengar selama enam hari bermula 5 Ogos ini.
Penghujahan lisan pada akhir kes pendakwaan itu dijadualkan didengar di mahkamah terbuka di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 5, 6, 9, 11, 13 dan 24 Ogos.
Tarikh penghujahan itu dimaklumkan kepada pihak media oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan disahkan oleh peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik.
Pada 19 Mac lalu, pihak pendakwaan menutup kes pada hari ke-53 perbicaraan selepas mengemukakan keterangan 99 saksi.
Saksi terakhir ialah pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Kanan Penguasa Khairudin Kilau, 44.
Raja Rozela ketika itu memaklumkan pihak pendakwaan menawarkan 37 saksi kepada pihak pembelaan.
Mereka termasuk ahli keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis dan anak perempuan mereka Datuk Nurulhidayah.
Saksi-saksi lain termasuk adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi, ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan beberapa pegawai di Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929