ALOR GAJAH – Seorang operator lelaki maut apabila kenderaan dipandunya dirempuh sebuah treler membawa muatan elektronik di kilometer 22.3 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan), di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa M. Mahendran, 50, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dalam perjalanan dari arah Klang, Selangor ke Johor.
Jelasnya, sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang mengiringi sebuah kenderaan kren tunda untuk menuju ke lokasi sama dan kedua-duanya berada di lorong paling kiri.
“Ketika itu mangsa dikatakan sedang memandu di belakang kren tunda tersebut sebelum tiba-tiba datang sebuah treler membawa muatan barangan lektrik merempuh kenderaanya daripada belakang.
“Rempuhan itu menyebabkan Triton tersebut turut melanggar belakang kren tunda terbabit. Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, treler tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Padang Besar, Perlis menuju ke Singapura.
“Kedua-dua pemandu treler dan kren tunda bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati kejadian berlaku di laluan berselekoh dengan tiga lorong dan tidak mempunyai lampu jalan. Hasil siasatan awal, kemalangan itu dipercayai berlaku disebabkan kegagalan manusia mengawal kenderaan,” katanya.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929