PENGUBAHSUAIAN ruang dapur yang lebih cantik dan segar bukan sahaja memberi kepuasan kepada penghuninya, tetapi turut menyempurnakan keseluruhan rupa sesebuah kediaman.
Di samping itu, memperindahkan kembali dapur yang sudah agak berusia juga penting untuk memastikan ruang menyediakan makanan selamat dan selesa digunakan.
Susun atur barangan dapur yang kemas, penggunaan ruang lebih sistematik, pengudaraan dan pencahayaan secukupnya adalah elemen penting bagi menjadikannya lebih menarik.
Baru-baru ini, pasukan pereka hiasan dalaman daripada Deqasa Home diberi tanggungjawab untuk mengubah suai dan membuat dekorasi dapur berusia lebih 18 tahun yang kembali berwajah segar serta baharu.
Menurut salah seorang pereka hiasan dalaman tersebut, Zulfikri Zulkifli, mereka membuat sepenuhnya pengubahsuaian ruang dapur tersebut yang berukuran 260 kaki persegi (24.1 meter persegi) dengan menerapkan konsep moden minimalis.
“Dapur itu kelihatan suram kerana penggunaan warna yang tidak bersesuaian dan susunan kurang kemas serta barangan terlalu banyak.
“Selain itu, dapur tersebut juga kurang pencahayaan dan pengudaraan,” katanya yang sudah lima tahun berkecimpung dalam bidang hiasan dalaman bersama dua lagi rakan pereka iaitu Shazman Nawawi dan Aizul Marcello Ab. Rahim.
Bagi menceriakan kembali ruang tersebut yang suram, pasukan Deqasa Home menggunakan warna kelabu dan juga menyuntik rona merah jambu kegemaran pemilik rumah itu pada jubin dinding berbentuk sisik ikan.
Terdapat juga penggunaan marmar dan melamin agar rekaan tampak lebih kemas serta menarik.
Jelas Zulfikri, pihaknya merombak kembali dapur itu dengan membuat susunan semula bagi tempat sinki, ruang memasak, bahagian penyimpanan dan penggunaan lampu mencukupi.
Memandangkan pemilik rumah mempunyai barangan yang banyak, pihak Deqasa Home menyiapkan lebih ruang penyimpanan agar kesemuanya boleh disimpan di dalam kabinet.
Lebih menarik, terdapat kabinet berkaca yang berlampu untuk meletak dan mempamerkan koleksi kesayangan.
Di samping itu, turut dibina slot khas untuk memasukkan peti ais ke dalamnya agar kelihatan lebih kemas dan juga kaunter sarapan pagi bagi menampil elemen moden.
Kini, susun atur dapur tersebut lebih sistematik dan selamat yang mana tempat memasak, peti ais dan sinki mesti berada dalam kedudukan segi tiga bagi memudahkan pergerakan ketika berada di ruangan tersebut.
“Bagi memberi pengudaraan yang baik, kipas dinding serta cerobong asap dipasang supaya bau masakan tidak terperangkap di dalam rumah.
“Lantainya pula menggunakan kemasan vinyl yang mempunyai permukaan lebih kasar, tidak licin dan tahan kelembapan,” ujarnya sambil memberitahu, mereka mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan keseluruhan ruang dapur tersebut.
Tutur Aizul lagi, mereka turut menggunakan sinki nano yang tidak melekat minyak, senang dicuci dan tidak mudah tercalar sekiranya menyental dengan kuat.