JOHOR BAHRU – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menahan sebuah kontena yang cuba membawa masuk plywood acacia dari Vietnam di Pelabuhan Pasir Gudang di sini semalam.
Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, siasatan mendapati plywood acacia yang dianggarkan bernilai RM108,471 itu tidak mematuhi syarat-syarat di dalam permit import Maqis.
Katanya, perkara itu disedari ketika pegawai penguatkuasa Maqis membuat pemeriksaan rutin pada pukul 10 pagi yang mendapati nombor rujukan permit tidak dicatatkan pada sijil fitosanitasi dari negara asal yang dikemukakan.
Jelasnya, produk kayu tersebut yang seberat 85 tan metrik ditahan untuk tindakan lanjut.
“Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat-syarat di dalam permit import Maqis adalah menjadi suatu kesalahan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jika disabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian atau barangan yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929