KEJAYAAN pemain kompetitif e-Sukan FIFA, Muhammad Luqman Haziq Hajiman mengungguli Kejohanan ePiala Malaysia edisi 2019 telah meletakkan statusnya sebagai salah seorang atlet elit dalam arena e-Sukan negara.
Luqman sebelum ini pernah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain negara pertama yang layak ke Piala Kejohanan FIFA Ultimate Team (FUT) 2018 dan berazam untuk mempertahankan kemenangannya andai Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mempertandingkan kembali saingan ePiala Malaysia tahun ini.
Kata Luqman, saingan ePiala Malaysia kali ini mungkin akan lebih sengit memandangkan skop e-Sukan khususnya permainan video FIFA 20 semakin memiliki pemain hebat dan telah terbukti pada saingan eMFL yang dianjurkan pada bulan lalu.
Pada saingan eMFL lepas, Luqman yang dipilih untuk mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berpuas hati pada kedudukan ketiga selepas ketinggalan di belakang Muhammad Imran Burhanudeen di tempat kedua dan juara, Mohd. Faiz Hariry.
“Jika diberi peluang, saya memang mahu mempertahankan gelaran yang dimenangi pada tahun lalu. Namun, saya akui saingan bakal menjadi lebih sengit sebab saya percaya ramai lagi pemain sudah menguasai taktikal dan teknikal permainan FIFA 20 ini.
“Ia terbukti pada saingan eMFL bulan lalu apabila saingan oleh pencabar sangat sukar sehingga keputusan terpaksa ditentukan sehingga perlawanan terakhir.
“Namun, rezeki tidak memihak kepada saya dan pasukan JDT pada saingan eMFL kali ini dan saya harap dapat bangkit jika ada kejohanan eMFL pada tahun depan sekali gus mewakili JDT sekali lagi,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
LUQMAN mencipta sejarah apabila menjadi pemain negara pertama layak ke Piala Kejohanan FIFA FUT 2018.
Pada edisi lalu, kejohanan ePiala Malaysia anjuran MFL telah menawarkan hadiah sebanyak RM5,000 kepada juara, RM3,000 kepada naib juara, dan RM1,000 untuk pemain yang terkandas di peringkat separuh akhir.
Dalam perkembangan sama, Haziq yang berasal dari Ampang, Selangor mengakui selain bersaing secara kompetitif, dia sangat berminat untuk melakukan strim di rumah untuk berkongsi taktikal dan teknikal FIFA 20.
“Secara jujur, saya masih baru dalam bidang penstriman ini dan belum sampai setahun. Pada awalnya, saya lakukan penstriman atas permintaan rakan-rakan yang mahu saya berkongsi strategi dan formasi selain mahu mengetahui perkembangan terbaharu saya.
“Buat masa ini, saya hanya melakukan pensriman secara separuh masa kerana perlu fokus untuk menamatkan pelajaran di Universiti Malaya,” katanya yang menjadikan pemain e-Sukan, Boras Legend sebagai idola dalam permainan FIFA 20.
Sementara itu, Haziq mengakui turut pernah mencuba permainan video e-Sukan bola sepak, Pro Evolution Soccer (PES) yang juga pesaing kepada FIFA tetapi tidak terlalu serius kerana kurang meminati aspek taktikal permainan tersebut.
“Saya lebih meminati permainan video FIFA kerana enjin taktikal dan teknikalnya lebih pantas berbanding PES. Malah, skop pertandingan FIFA juga lebih luas dan diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya. – K! ONLINE