fbpx

Singapura menuju kehidupan normal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai berehat di luar bangunan komersial One Raffles Place di daerah perniagaan Singapura pada 9 Jun lalu. – AFP

SINGAPURA – Pemerintah Singapura akan memperkenalkan pelan bagi membolehkan kehidupan di pulau itu kembali normal, lapor akbar Saudi Gazette kelmarin.

Pelan itu dirangka ketika kebanyakan negara rantau Asia Pasifik kembali mengetatkan perintah berkurung bagi mengekang penularan varian Delta.

Disediakan oleh tiga anggota jawatankuasa bertindak Covid-19 Singapura, pelan itu akan memansuhkan perintah berkurung dan pengesanan kontak di samping membenarkan semula perjalanan bebas kuarantin serta perhimpunan beramai-ramai, malah pihak berkuasa kesihatan juga akan menamatkan

pengiraan kes harian Covid-19.

“Covid-19 tidak akan hilang atau meninggalkan kita. Namun, berita baik adalah kita boleh belajar hidup bersama wabak ini dengan menyediakan perlindungan secukupnya.

“Kita akan menjadikan Covid-19 kurang mengancam seperti penyakit kaki, tangan dan mulut, influenza serta demam campak dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” kata Menteri Perdagangan Singapura, Gan Kim Yong, Menteri Kewangan, Lawrence Wong dan Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung.

Rancangan berani itu boleh menjadi contoh kepada negara lain yang ingin kembali kepada kehidupan normal termasuk membangunkan semula sektor pelancongan dan ekonomi.

Ia juga memberi harapan kepada rakyat yang kecewa dan mahu hidup seperti sediakala selepas mengharungi pelbagai sekatan selama 18 bulan.

Kunci utama pelan tersebut adalah kadar vaksinasi yang tinggi.

Singapura berada di landasan tepat membabitkan program imunisasi massa apabila dua pertiga rakyatnya telah menerima dos pertama setakat awal bulan ini.

Pemerintah juga berhasrat memberi pelalian kepada semua penduduk pulau itu menjelang Ogos ini.

“Vaksin sangat berkesan dalam mengurangkan risiko jangkitan dan penularan. Walaupun anda dijangkiti, vaksin akan membantu mencegah gejala Covid-19 yang teruk,” kata mereka.

Pemantauan pihak berkuasa terhadap peningkatan kes Covid-19 pula akan berubah mengikut kadar vaksinasi penduduk dari semasa ke semasa.

Singapura juga hanya akan memantau pesakit Covid-19 bergejala serius.

Pesakit lain yang stabil dan bergejala ringan akan dibenarkan pulang serta meneruskan rawatan di rumah.

“Kami tidak perlu bimbang sistem penjagaan kesihatan menjadi terbeban,” kata kenyataan sama.

Pemerintah turut mencadangkan program imunisasi dilanjutkan selama beberapa tahun susulan kewujudan varian Covid-19 .

Pihak berkuasa kesihatan mungkin akan menghentikan ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (PCR) yang mengambil masa lama untuk mendapatkan keputusan.

Ia akan digantikan dengan saringan alat penyedut nafas yang boleh memberi keputusan dalam masa satu atau dua minit sahaja. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI