SEREMBAN – Selebriti kontroversi, Zarina Anjoulie telah membuat laporan polis hari ini mendakwa imej gambarnya yang dikatakan berada di dalam bilik siasatan telah tersebar di media sosial.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, Zarina telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada pukul 12.05 tengah malam.
“Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul membuat laporan polis mendakwa imej gambar beliau telah tersebar di media sosial dikatakan berada di dalam bilik di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Nilai.
“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Mohd. Fazley berkata, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Selain itu, siasatan selari oleh pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Polis Negeri Sembilan turut dilakukan,” katanya.
Jelas beliau, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius laporan yang dibuat oleh pengadu.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil jika siasatan mendapati wujud sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan prosedur siasatan.
“Justeru, PDRM menasihati orang ramai agar tidak mensensasikan fakta berhubung isu ini dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan satu penyiasatan yang telus dan adil,” katanya lagi.
Kelmarin Kosmo! melaporkan seorang selebriti wanita ditahan kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Nilai, Negeri Sembilan,
Biarpun pihak polis tidak mendedahkan identiti selebriti tersebut, rata-rata netizen membuat andaian bahawa individu berkenaan ialah Zarina. -K! ONLINE
Jika anda menglami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929