fbpx

Pendarahan luar biasa tanda kanser pangkal rahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANSER pangkal rahim merupakan pembunuh ketiga kaum wanita.-Gambar hiasan

SEBELUM ini, seringkali kita dengar apabila membicarakan tentang kanser pangkal rahim yang merupakan pembunuh ketiga kaum wanita, ia dikaitkan dengan tabiat seksual rambang dalam kalangan masyarakat.

Bagaimanapun, penyakit yang amat menggerunkan itu turut berlaku kepada wanita yang berkongsi kasih menerusi kehidupan bermadu.

Menurut Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan (Kanser Ginekologi) dari Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Ahmad Zailani Hatta Mohd. Dali, sesiapa pun tidak pernah sedar selama ini, poligami atau hidup bermadu juga boleh meningkatkan risiko kanser pangkal rahim terhadap golongan wanita.

DR. AHMAD ZAILANI HATTA MOHD. DALI

Katanya, kanser pangkal rahim berlaku akibat jangkitan Human Papillomavirus (HPV) yang disebarkan menerusi hubungan kelamin.

“Setiap wanita yang pernah melakukan hubungan kelamin tanpa mengira status perkahwinan adalah berisiko untuk menghidap penyakit ini.

“Bagi mereka yang mempunyai lebih daripada seorang isteri, sekiranya salah seorang daripadanya menghidap kanser pangkal rahim, kebarangkalian isteri lain untuk menghidapnya juga agak tinggi kerana si suami bertindak sebagai pembawa virus tersebut.

“Kadangkala kita terlupa orang lelaki juga boleh menjadi pembawa virus HPV. Hanya kerana mereka tidak mempunyai rahim seperti wanita, maka mereka tidak menghidap kanser tersebut,” katanya.

Pendarahan luar biasa

Begitupun terangnya, bagi pasangan yang mengamalkan monogami tanpa mempunyai hubungan seksual dengan orang lain, selain suami isteri, wanita itu juga masih boleh dijangkiti HPV.

Ini kerana, sifat virus tersebut yang boleh didapati di sekeliling termasuklah pada tangan, pakaian dan permukaan.

Jika ia terdedah pada pangkal rahim, kebarangkalian wanita untuk menghidap kanser tersebut adalah tinggi.

Antara tanda-tanda individu menghidap kanser pangkal rahim adalah pendarahan luar biasa selepas persetubuhan, pendarahan antara pertengahan haid dan discaj daripada faraj.

Begitupun simptom yang ditunjukkan berbeza antara seseorang individu memandangkan ada sesetengah kes yang tidak mempunyai sebarang tanda, tetapi penyakit yang dihidapi hanya
diketahui apabila ia sudah berada pada tahap dua, tiga atau empat.

“Kita perlu faham, kanser pangkal rahim adalah sejenis penyakit yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk bermutasi.

“Sebab itu, apabila seorang wanita sudah berumah tangga, doktor akan menyarankan supaya mereka membuat ujian pap smear setiap tiga tahun sekali apabila ujian pertama jelas menunjukkan keputusan normal,” ujarnya.

Jelas Dr. Ahmad Zailani Hatta, tubuh individu sebenarnya boleh melawan jangkitan HPV secara semula jadi sekiranya mereka mempunyai sistem  imun yang kuat.

TUBUH individu boleh melawan jangkitan HPV secara semula jadi sekiranya mereka mempunyai sistem imun yang kuat.

Bagaimanapun, jika jangkitan tersebut berlaku berulang kali, kebarangkalian untuk bermutasi menjadi kanser adalah tinggi.

“Ramai menganggap pesakit kanser pangkal rahim mempunyai tabiat seksual seperti terlalu aktif dan kerap bertukar pasangan.

“Saya tidak bersetuju dengan pandangan ini dan persepsi tersebut perlu diperbetulkan.

“Ini kerana, walaupun anda mempunyai satu pasangan sahaja, anda masih berisiko untuk mendapat jangkitan HPV yang boleh mengakibatkan kanser pangkal rahim,” terangnya.

Jelasnya lagi, HPV masih boleh dibendung dengan suntikan vaksinasi yang kebiasaannya diberikan sebanyak tiga dos dalam tempoh enam bulan untuk melengkapkan antibodi wanita melawan virus itu.

Jelasnya lagi, rakyat Malaysia dianggap bertuah kerana kerajaan menggalakkan suntikan vaksinasi tersebut diberikan kepada pelajar perempuan sejak usia remaja lagi.

Katanya, beberapa negara maju seperti Australia mewajibkan vaksinasi HPV kepada pelajar lelaki dan perempuan dalam usaha mengawal risiko kanser yang berpunca daripada HPV.

“Ada juga negara lain yang tidak mempunyai program vaksinasi seperti ini langsung. Sebab itu, kita perlu memainkan peranan bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang sifar kanser pangkal rahim pada masa akan
datang,” katanya.

Selain kanser pangkal rahim, HPV juga boleh menyebabkan kanser lain termasuk kanser alat kelamin dan kanser hidung atau nasopharyngeal yang mencatatkan bilangan tinggi terhadap golongan lelaki kaum Cina
di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI