fbpx

Harimau mengganas lagi di Felda Kerteh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Imej lima ekor harimau yang dirakam kamera di ladang kelapa sawit Felda Kerteh 4, Dungun baru-baru ini.

DUNGUN – Penangkapan seekor harimau belang digelar ‘Awang Rasau’ pada 23 Februari lalu rupa-rupanya tidak menyelesaikan masalah serangan terhadap lembu ternakan di Felda Kerteh 4, Ketengah Jaya, dekat sini.

Lembu peliharaan lebih 60 penternak yang merupakan peneroka tanah rancangan ber­kenaan terus menjadi mangsa dibaham harimau dan kejadian terbaharu pada dua ming­gu lalu.

Seekor lembu ternakan tersebut ditemui bergelimpangan di kawasan ladang kelapa sawit berkenaan dengan kesan gigitan dan cakaran haiwan buas dipercayai harimau belang.

Timbalan Ketua Pengarah Perhilitan (Konservasi) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Fakhrul Hatta Musa berkata, berdasarkan pengesanan menerusi kamera yang dipasang di sekitar ladang kelapa sawit tersebut rupa-rupanya serangan terhadap lembu penternak didalangi oleh empat ekor harimau lain.

Beliau berkata, imej kame­ra tersebut mendedahkan se­kurang-kurangnya lima ekor harimau lain turut berkeliaran di kawasan ladang kelapa sawit yang seluas 1,284 hektar ber­kenaan untuk memburu mangsa.

“Kita dapat bukti bergambar terdapat seekor (harimau) induk dan empat anaknya menerusi kamera yang dipasang. Berdasarkan keadaan fizikal mereka, kita percaya ‘anak beranak’ ini ber­ada dalam keadaan sihat.

“Imej lima beranak (harimau belang) ini bukan hanya sekali berjaya dirakam tetapi berkali-kali. Oleh itu kita dapat kenal pasti kawasan aktif haiwan liar tersebut,” katanya selepas me­lakukan tinjauan di lokasi serangan di Ladang Kelapa Sawit Felda Kerteh 4 dekat sini semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, lembu-lembu yang berkeliaran di dalam ladang kelapa sawit itu merupakan sumber makanan mudah bagi harimau berkenaan.

Azman turut memohon per­ternak terlibat agar memberi kerjasama dengan mengurung haiwan peliharaan mereka buat sementara waktu bagi memudahkan Perhilitan memasang perangkap.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI