Di kala pandemik Covid-19 masih ‘mengganas’ di negara ini dengan mereka yang disahkan positif melebihi angka 5,000 setiap hari, ramai dalam kalangan kita yang sudah tidak tahan dengan keadaan ini dan mahukan penyelesaian lebih baik dilakukan.
Ramai yang mengalami stres atau kemurungan disebabkan pelbagai punca termasuk kehilangan mata pencarian untuk menyara keluarga.
Ia ekoran dibuang kerja memandangkan banyak sektor ditutup termasuk perhotelan, pelancongan serta sesetengah perniagaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang disambung tanpa diberi had masa.
Selain itu, keganasan rumah tangga seperti penderaan kanak-kanak, pukul isteri dan sebagainya dikhabarkan terus meningkat kerana ramai yang hilang ‘pertimbangan’ akibat sudah tidak ada sumber kewangan demi kelangsungan hidup.
Paling menyedihkan, terdapat segelintir anggota masyarakat mengambil jalan mudah dengan membunuh diri disebabkan perniagaan yang diusahakan gulung tikar.
Dalam kita membicarakan tentang stres sana, murung sini, jangan dilupakan anak-anak kita yang dikatakan paling stres ketika PKP dilaksanakan.
Apa tidaknya, ketika orang dewasa masih ada kebebasan ke sana sini untuk urusan kerja dan membeli barangan keperluan, mereka hanya duduk ‘terperuk’ di rumah.
Sebelum ini, mereka dilihat riang bermain di luar rumah dan sekolah. Kini semuanya berubah.
Dalam usia semuda itu, mereka sebenarnya memerlukan rangsangan persekitaran yang positif seperti bermain dengan rakan-rakan sebaya kerana ia juga salah satu kaedah pembelajaran bersosial.
Disebabkan terlalu lama berkurung dalam rumah, emosi kanak-kanak ini dikhuatiri terganggu lebih-lebih lagi terpaksa menyesuaikan diri dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disebabkan sekolah ditutup gara-gara Covid-19.
Ini adalah sesuatu yang baharu buat mereka dan memerlukan masa bagi menyesuaikan diri. Dalam hal ini, kanak-kanak ini menghadapi sedikit sebanyak kesihatan mental.
Bagi memberikan sedikit ruang ‘bernafas’ kepada anak-anak ketika PKP agar mereka tidak terus berasa terpinggir dan stres, ibu bapa perlu pandai memainkan peranan sebagai pembimbing.
Paling penting, berilah sedikit ruang yang ada kepada mereka untuk meluahkan perasaan, lebih-lebih lagi jika mereka berasa takut, risau atau terasing dalam dunia tersendiri.
Ibu bapa juga mesti pandai mengambil pendekatan berbeza dalam hal ini kerana setiap anak perlukan penyelesaian berlainan dengan tekanan psikologi yang mereka hadapi.
Di samping itu, ibu bapa boleh mengambil masa ini untuk mengeratkan ikatan sesama keluarga serta menerapkan nilai kekeluargaan kerana mereka juga banyak menghabiskan masa di rumah.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929