Sepak takraw adalah antara sukan paling popular serta memiliki ramai pengikut di Malaysia berdasarkan reputasi pasukan negara sebagai salah satu yang terbaik di dunia.
Tidak dinafikan, Malaysia masih lagi dianggap antara kuasa besar sukan sepak takraw antarabangsa biarpun dikatakan tidak mencapai standard yang dimahukan sejak akhir-akhir ini.
Selain itu, kemelut dalaman yang melanda Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) baru-baru ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kesinambungan sukan tradisi tersebut.
Arena sukan negara sebelum ini dikejutkan dengan pengunduran 11 ahli gabungan daripada badan induk sukan sepak takraw Malaysia itu selepas Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail meletakkan jawatan.
Lebih parah, 11 ahli gabungan yang dikenali sebagai G11 itu menyuarakan hasrat untuk tidak kembali ke pangkuan PSM selain mahu menubuhkan satu entiti baharu bagi menggantikan persatuan berkenaan.
Bagi penulis, adalah baiknya semua pihak tidak kira daripada G11 mahupun PSM, kembali berdamai dan bersama-sama memartabatkan sukan sepak takraw ke persada dunia.
Presiden Persatuan Sepak takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Perswhip), Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, pihaknya akan terus setia bersama PSM memandangkan objektif utama mereka adalah untuk memperkasakan sukan sepak takraw.
Ujarnya, kepentingan bersama mengatasi segala-galanya dan sedia membantu badan induk itu untuk bangkit serta kembali meletakkan maruah sepak takraw negara ke tempat sepatutnya.
“Saya dan Kuala Lumpur akan kekal berada dalam PSM. Kami tidak akan keluar, sebaliknya akan terus bersama bagi membantu PSM bangkit demi pembangunan sepak takraw tanah air.
“Apa yang menjadi keutamaan di sini adalah kami letakkan kepentingan sepak takraw negara di kedudukan teratas, bukannya demi mana-mana individu dalam PSM,” katanya.
Adalah wajar semua pihak kembali berganding bahu demi sukan sepak takraw dan tidak meletakkan agenda peribadi sebagai keutamaan, lebih-lebih lagi selepas PSM disingkir daripada menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).
Selepas dilucutkan status sebagai ahli gabungan Astaf, ia mungkin memberi kesukaran kepada PSM untuk meneruskan pembangunan di peringkat antarabangsa kerana tidak diiktiraf badan luar.
Bagaimanapun, menerusi campur tangan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) terhadap kemelut antara PSM dan G11, penulis percaya ia bakal membawa sinar serta membentuk lembaran baharu buat sepak takraw negara.
Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd. Yusof menyatakan, pihaknya sedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kemelut antara PSM dan G11, seterusnya memastikan kesinambungan pembangunan sukan tersebut.
“Kami sudah pun mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pihak sebelum ini dan ia berjalan lancar. Mereka sangat komited dan teruja bagi melakukan pembaharuan demi kelangsungan sepak takraw negara.
“PJS akan melaksana tanggungjawab sebagai orang tengah antara PSM dan G11 selain sedia memberikan nasihat dalam penambahbaikan perlembagaan serta struktur jawatankuasa tertinggi,” ujarnya.
Justeru, menerusi usaha-usaha murni ini, penulis berharap sukan sepak takraw negara akan kembali ke era kegemilangan memandangkan kita sentiasa melahirkan ramai pemain berbakat setiap tahun.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929