MANCHESTER – Manchester United dan Borussia Dortmund dilaporkan telah bersetuju dengan nilai perpindahan untuk mendapatkan Jadon Sancho.
United perlu membayar nilai sebanyak £72.9 juta (RM418.22 juta) untuk membawa pemain itu ke Old Trafford dan tidak ada bayaran tambahan lain dikenakan dalam perjanjian tersebut.
Sumber juga memberitahu, bekas kelab Sancho, Manchester City turut akan menerima 15 peratus daripada nilai perpindahan berkenaan.
Rundingan mengenai perpindahan berkenaan sudah berlangsung sejak musim panas tahun lalu dan ia berjalan lancar yang bakal menyaksikan Sancho hanya perlu menjalani ujian perubatan sebelum sah menyertai United dengan kontrak sehingga 2026.
Sancho ketika ini sedang beraksi bersama England dalam saingan Euro 2020 di mana mereka mara ke suku akhir dan bakal bertemu Ukraine pada perlawanan yang akan berlangsung di Rom.
United dikatakan hanya akan mengumumkan perkara itu secara rasmi selepas kejohanan Euro tersebut berakhir untuk membolehkan Sancho menjalani ujian perubatan dan menandatangani kontrak secara rasmi.
Namun, Sancho dijangka akan menyertai skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer sebelum saingan Liga Perdana Inggeris bermula pada 14 Ogos nanti.
Keputusan itu menyaksikan spekulasi perpindahan melibatkan Sancho menemui jalan penyelesaian selepas 18 bulan ia tergendala ekoran jumlah nilai perpindahan yang gagal menemui titik pertemuan antara kedua-dua kelab berkenaan.
Sancho menghabiskan masa selama empat tahun di Jerman selepas tiba dari City pada 2017 dan sudah meledak 50 gol dalam 137 perlawanan selain dinamakan di dalam pasukan terbaik Bundesliga untuk musim 2019 dan 2020.
Selain United, beberapa kelab lain turut cuba untuk mengikat khidmatnya tetapi Sancho secara jelas menyatakan minatnya untuk kembali ke Englang bersama United. – AGENSI