PUTRAJAYA – Sela masa antara dos pertama dan dos kedua vaksin AstraZeneca akan dipendekkan kepada sembilan minggu, berbanding 12 minggu ketika ini.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) selepas mengambil kira saranan jawatankuasa kerja teknikal yang dibarisi pakar berkaitan.
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata, tempoh jarak antara dos pertama dan kedua AstraZeneca yang diputuskan masih selari dengan garis panduan yang ditetapkan oleh syarikat pengeluar AstraZeneca sendiri iaitu di antara 4 hingga 12 minggu.
“Hasil penilaian barisan pakar dalam JKJAV yang turut dianggotai oleh Kementerian Kesihatan mendapati jarak terbaharu ini masih lagi dapat mengekalkan tahap keberkesanan sama yang maksimum untuk perlindungan sewajarnya kepada penerima vaksin tersebut,” katanya di sini hari ini.
CITF berkata, terdahulu, kerajaan Malaysia hari ini menerima sejuta dos bekalan vaksin AstraZeneca yang disumbangkan oleh kerajaan Jepun untuk membantu negara memerangi pandemik Covid-19 dan memperhebatkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Bekalan vaksin yang diterima secara pukal itu tiba menggunakan pesawat Japan Airlines (JAL723) pada pukul 5.45 petang tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Dengan sumbangan yang diterima itu menjadikan jumlah vaksin AstraZeneca yang telah diperoleh negara setakat 1 Julai adalah sebanyak 1,828,000 dos. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929