PETALING JAYA – Akibat merosakkan cermin tiga buah kenderaan milik tiga individu pada hari yang sama, seorang penganggur didenda RM5,400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Kow Wai Foo, 42, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda dan tertuduh membayar jumlah denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Wai Foo didapati melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta Proton Iris milik Nga Lik Hing, 38; Nissan Grand Livina milik Yap Kau Chai, 71, dan Proton Saga milik Yap Wing Leong, 31.
Kesalahan didakwa dilakukan di Taman Jinma, Seri Kembangan di sini pukul 9.57 pagi 26 Jun lalu yang didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana tidak bekerja.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Lau Chia Xin mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran, dengan mengambil kira kerugian yang ditanggung oleh ketiga-tiga mangsa.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tiga pengadu mendapati cermin kenderaan mereka rosak lalu mereka memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah masing-masing.
Mereka mendapati tertuduh menyebabkan kerosakan itu dengan membaling batu bata ke arah kereta tersebut. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929