YAN – Seorang pembantu kedai barang maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Jalan Batas Ubi dekat Teroi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi itu, mangsa, Siti Nurbayah Johari, 52, dari Kampung Perupok di sini meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Demak DVS5 telah keluar dari simpang kanan tanpa melihat keadaan trafik di laluan itu.
“Sebuah kereta Proton Iswara dipandu seorang juruteknik dari arah Yan menghala Guar Chempedak yang kebetulan melalui laluan itu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.
“Impak hentaman kuat dari jarak dekat telah menyebabkan motosikal mangsa terperosok di bawah kereta manakala kenderaan dipandu lelaki berusia 33 tahun itu terbalik,” katanya di sini hari ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929