LONDON – Berpuluh-puluh juta rakyat Britain akan ditawarkan dos ketiga vaksin Covid-19 pada September ini di bawah satu garis panduan baharu, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) berkata, skim itu bermula September ini dan akan menyaksikan 23 juta individu berusia 50 tahun keatas, individu yang berisiko dan kakitangan rumah penjagaan warga tua ditawarkan dos tambahan.
Doa ketiga itu akan diberikan dalam dua peringkat dengan keutamaan kepada mereka yang paling berisiko dijangkiti Covid -19. Dos penggalak itu adalah daripada jenis vaksin sama seperti dos pertama dan kedua.
Saranan itu dibuat untuk memastikan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) bersedia menghadapi kemungkinan lonjakan kes Covid-19 pada musim luruh tahun ini sementara menunggu lebih banyak data tentang keperluan dos ketiga.
Timbalan Ketua Pegawai Perubatan England, Profesor Jonathan Van-Tham berkata, langkah itu akan mengekalkan Britain sebagai berada di kedudukan hadapan dalam melawan Covid-19.
Sumber JCVI memberitahu bahawa dalam kebanyakan kes, data menunjukkan dos vaksin Covid-19 mendorong imuniti yang mampu bertahan sekurang-kurangnya selama enam bulan.
Ujikaji oleh University Oxford menunjukkan suntikan dos ketiga enam bulan selepas dos kedua akan mengembalikan semula imuniti tahap tinggi terhadap Covid-19.
Britain kelmarin merekodkan lebih 20,000 kes selama tiga hari berturut-turut, namun jumlah kematian akibat Covid-19 di negara itu terus menurun sekali gus membuktikan keberkesan vaksin.
Namun begitu, saintis-saintis memberi amaran bahawa England mungkin berdepan kenaikan kes Covid-19 dalam tempoh beberapa minggu akan datang ekoran kemenangan Three Lions untuk Euro 2020.
Jumlah kes yang mungkin meningkat itu bagaimanapun bukan petanda kenaikan jumlah kemasukan ke hospital dan jumlah kematian. -Agensi