JAKARTA – Seorang gadis berusia 21 tahun dari Indonesia menjadi tular apabila membuat pengakuan terpaksa menjadi isteri kedua demi melunaskan hutang, lapor Suara.com, semalam.
Menerusi rakaman video di TikTok, gadis dipercayai bernama Najwa itu menceritakan kisah hidupnya yang berpoligami atas permintaan ibu bapa bagi melangsaikan hutan mereka dengan suaminya pada Julai tahun lalu.
Namun selepas enam bulan berumah tangga, Najwa mendakwa dirinya diceraikan oleh suami dalam keadaan hamil anak pertama.
“Pada Julai tahun lalu, saya dinikahkan dengan suami sebagai isteri kedua kerana mahu membayar hutang orang tua.
“Bulan Oktober tahun sama, saya hamil. Pada Januari tahun ini, suami telah menceraikan saya secara lisan,” katanya menerusi video itu.
Tambah Najwa, dia berasa sedih kerana terpaksa memegang gelaran janda dan ibu tunggal di usia yang terlalu muda.
Dia sempat menasihati kaum wanita di luar sana agak tidak terjebak dengan poligami kerana ia hanya merugikan mereka di masa hadapan.
“Saya tidak minta bergelar janda dan ibu tunggal di usia awal 20-an tetapi ini bukan kehendak saya.
“Buat wanita di luar sana, jangan percaya janji lelaki tentang poligami kerana mereka boleh meninggalkan kita bila-bila masa sahaja,” ujarnya.
Video ini sudah ditonton lebih sejuta kali, menerima 32 ribu tanda suka dan mengundang tujuh ribu komen netizen yang bersimpati dengan nasib Najwa. – Agensi
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929