PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan penglibatan dan tawaran iklan terhadap pembiayaan peribadi ‘Lestari Pinjaman Peribadi KPKT’ kepada orang awam yang diiklankan menerusi laman sosial Facebook.
Menurut kenyataan akhbar KPKT, pihak kementerian menerima maklumat daripada orang awam berhubung tawaran tersebut dan hasil semakan mendapati laman itu diwujudkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, mereka menyalahgunakan logo KPKT (jata negara) dan logo syarikat kredit komuniti berlesen yang didaftarkan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400].
“Sehubungan itu, KPKT memandang serius terhadap mana-mana pihak atau syarikat pemberi pinjam wang berlesen atau tidak berlesen yang menyalahgunakan logo KPKT, logo kredit komuniti dan lesen pemberi pinjam wang untuk tujuan penipuan (scammer).
“Siasatan lanjut terhadap perkara ini akan dilakukan oleh pihak kementerian dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia untuk penelitian dan tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini. . -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929