fbpx

TNB umum diskaun bil elektrik hingga 40 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan pemberian diskaun dari lima hingga 40 peratus kepada 7.4 juta pengguna domestik selaras dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri Isnin lalu.

TNB menerusi satu kenyataan berkata, secara keseluruhannya, seramai 9.1 juta pelanggan domestik dan bukan domestik di semenanjung akan mendapat manfaat diskaun yang diberikan secara bersasar itu.

“Sebanyak lima peratus diskaun juga diberikan kepada pengguna elektrik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah kategori tarif komersial, industri dan pertanian spesifik di bawah voltan rendah yang akan memberi manfaat kepada 1.6 juta pelanggan TNB.

“Diskaun sebanyak 10 peratus pula diberikan sehingga 31 Disember ini kepada pengguna elektrik di enam sektor perniagaan terpilih menerusi inisiatif Pemerkasa Plus melibatkan 11,800 pengguna,” kata kenyataan itu hari ini.

Difahamkan enam sektor berkenaan adalah pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks beli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

Menurut TNB, selain diskaun di bawah Pakej Pemulih, pengguna elektrik di semenanjung akan terus menikmati rebat Pelepasan Kos Tidak Seimbang atau Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) sebanyak 2 sen/kWj dari Julai hingga Disember ini.

“Bagi kedua-dua kategori pelanggan domestik dan PKS, pengiraan Diskaun Bil Elektrik Pemulih adalah berdasarkan jumlah penggunaan bulanan dari 1 Julai hingga 30 September ini dan TNB sedang mengambil langkah perlu bagi memastikan pelaksanaan diskaun berjalan lancar.

“Pelanggan akan melihat diskaun ini tertera dalam bil elektrik mulai bil bertarikh 15 Julai ini dan bagi pelanggan yang menerima bil bertarikh antara 1 hingga 14 Julai, diskaun bulan Julai akan dimasukkan ke dalam bil bulan Ogos 2021,” ujarnya.

Kadar Diskaun Bil Elektrik Pemulih kepada pengguna domestik (Tarif A) di Semenanjung seperti yang diperincikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Mengulas lanjut, TNB berkata, pelanggan yang menerima bil sepanjang Julai 2021 akan menikmati diskaun mengikut bilangan hari penggunaan dalam bulan Julai dan diskaun yang diberikan adalah selepas mengambil kira rebat ICPT.

“Sebagai contoh, pelanggan yang menerima bil pada 11 Julai untuk jumlah penggunaan elektrik dari 12 Jun hingga 11 Julai 2021, Diskaun Bil Elektrik Pemulih akan diberikan ke atas jumlah penggunaan dari 1–11 Julai 2021.

“Sekiranya jumlah penggunaan dalam 30 hari adalah 220 kWj, diskaun sebanyak 15 peratus akan digunakan selepas rebat ICPT diambilkira dan oleh kerana tarikh bil adalah antara 1 hingga 14 Julai 2021, amaun diskaun ini akan dimasukkan ke dalam bil Ogos 2021,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu, TNB turut bekerjasama dengan kerajaan meneruskan usaha membantu rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi beberapa langkah seperti tiada pemotongan bekalan elektrik sepanjang PKP 3.0 Fasa 1.

“Penangguhan pemotongan bekalan elektrik juga akan diberikan kepada pengguna domestik yang mempunyai tunggakan bil tidak melebihi enam bulan sehingga 30 September ini.

“TNB juga akan menawarkan Pelan Bayaran Mudah kepada pengguna domestik sehingga 31 Disember ini,” ujar kenyataan itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI