fbpx

Kibar bendera merah demi kelangsungan hidup haiwan peliharaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) menyeru masyarakat di seluruh negara untuk menyertai kempen kibarkan bendera merah demi kelangsungan hidup dan nasib kucing serta anjing peliharaan yang terkesan sepanjang tempoh negara dilanda pandemik.

Presidennya, Arie Dwi Andika berkata, sejak negara dilanda pandemik Covid-19 dan menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berlaku banyak pembuangan kucing dan anjing peliharaan ke jalanan.

“Hal itu berlaku kerana pemilik sudah tidak mampu untuk terus memelihara haiwan tersebut susulan faktor ekonomi yang terjejas dan akibatnya banyak kucing serta anjing terpaksa dihumban ke jalanan.

“Amat menyedihkan apabila ‘muka baharu’ di jalanan berada dalam keadaan takut dan kekok menyesuaikan diri dengan risiko ancaman kebuluran, serangan dan pergaduhan selain tidak mengerti untuk bermandiri mencari makan dan akhirnya mengalami kecederaan, penyakit malah kematian,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Menerusi kempen tersebut, pemilik haiwan peliharaan yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan bekalan makanan bagi haiwan peliharaan mereka hanya perlu mengibarkan bendera berwarna merah sebagai isyarat kepada penduduk sekeliling.

Menurut beliau, masyarakat diseru untuk prihatin terhadap masalah kejiranan yang mempunyai haiwan peliharaan seperti kucing serta anjing dan bertanya khabar keperluan bekalan makanan mereka.

“Keprihatinan masyarakat dapat mengatasi masalah pembuangan kucing dan anjing ke jalanan sekaligus mengekang masalah kezaliman haiwan akibat tekanan perasaan pemilik yang terpaksa memikirkan keperluan hidup haiwan peliharaan semasa mengharungi kesusahan akibat Covid-19.

“Sehubungan itu, orang ramai diseru agar bersama-sama menyertai kempen kibarkan bendera merah demi kelangsungan hidup haiwan peliharaan dan bersama-sama kita menyelamatkan banyak nyawa daripada terseksa dan mengekalkan sifat kasih sayang dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.-K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI